Kemaskini dan naik taraf Loji Rawatan Air Sungai Dua sebagai jaminan bekalan air hingga tahun 2030

Admin

SUNGAI DUA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa kerja-kerja pengemaskinian dan penaiktarafan Loji Rawatan Air Sungai Dua dilihat sebagai keperluan, dan juga tepat pada masanya setelah ‘perkhidmatannya’ dalam tempoh 50 tahun sebelum ini.

 

Selaras itu, menurut beliau, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah menggerakkan usaha-usaha berkaitan termasuk pengemaskinian pusat pentadbiran yang bermula pada Oktober 2019 dan siap setahun kemudian dengan kos berjumlah RM2.73 juta.

 

“Kerajaan Negeri menerusi PBAPP perlu memastikan Loji Rawatan Air Sungai Dua terus beroperasi dengan lancar dan cekap sehingga tahun 2050.

 

“Kita (Pulau Pinang) memerlukan loji ini untuk terus membekalkan sejumlah besar air terawat menggunakan teknologi rawatan air konvensional, sehinggalah PBAPP dapat menggunakan teknologi lain seperti penyahgaraman untuk memenuhi permintaan air Pulau Pinang pada masa hadapan.

“Selaras peranan penting yang dimainkan Loji Rawatan Air Sungai Dua dalam mengeluarkan lebih 80 peratus air terawat yang dibekalkan di seluruh Seberang Perai dan bahagian pulau Pulau Pinang, loji ini termasuk pusat pentadbirannya perlu diuruskan untuk mematuhi keperluan pensijilan ISO antaranya, ISO 9001:2015 untuk Kualiti; ISO 45001: 2018 untuk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan; ISO/IEC 27001:2013 untuk Keselamatan Informasi dan MS ISO/IEC 17025:2005 untuk Pengujian Air,” ujarnya pada Majlis Perasmian Pusat Pentadbiran Loji Rawatan Air Sungai Dua, Seberang Perai Utara (SPU) di sini sebentar tadi.

 

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PBAPP, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa.

 

Selain pusat pentadbiran, Kon Yeow turut  meninjau kemajuan Fasa 2 Projek Naik Taraf Tangki Pemendapan yang sangat perlu terutama melibatkan isu bekalan air yang amat mendesak di daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

 

“Saya turut mengadakan lawatan ke Makmal Pusat PBAPP yang canggih serta bertanggungjawab untuk persampelan dan pengujian air secara berterusan setiap hari.

 

“Malah, turut diadakan adalah lawatan tapak cadangan Pakej 12A Loji Rawatan Air Sungai Dua yang akan disegerakan bagi meningkatkan lagi kapasiti loji ini menjelang 2023,” ulasnya.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa projek tersebut telah bermula pada Mac 2022, dan PBAPP telah diarahkan untuk menyiapkannya pada Disember 2023 sebagaimana dijadualkan.

 

“Walaupun projek skala besar seperti Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) tidak berjalan, namun kerja-kerja naik taraf seperti tersenarai juga penting untuk jaminan bekalan dan menampung bekalan air sehingga tahun 2030,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah dan Ekonomi dan Komunikasi.

 

Tambah Kon Yeow yang juga Pengerusi PBAPP, di sebalik penaiktarafan fasiliti, PBAPP juga perlu menekankan pengurusan permintaan sama ada peringkat domestik mahupun komersial.

 

“Memang ada kaedah untuk menguruskan permintaan (air) supaya apa yang dicapai melalui peningkatan kapasiti air mempunyai lebihan (surplus) untuk kegunaan lain,” katanya.

 

Dalam pada itu, Jaseni ketika diminta mengulas mengenai pengurusan permintaan air menyatakan bahawa kadar  penggunaan air di Pulau Pinang adalah antara yang tertinggi.

 

“Kadar penggunaan di Pulau Pinang adalah 308 liter per kapita setiap hari, sebaliknya di Singapura, penduduk republik berkaitan hanya menggunakan 150 liter air sehari iaitu 50 peratus lebih rendah.

 

“Apabila Ketua Menteri sebut tentang pengurusan permintaan air, kita (PBAPP) juga telah menghantar semakan tarif air kepada SPAN (Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara) pada Mac lalu berserta pihak-pihak berkuasa air seluruh Malaysia,” ujarnya.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD DAUD

Video : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR