DUA murid kembar dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Permatang berjaya mengharumkan nama negara apabila meraih pingat perak serta Top 10 Popularity Award di Chengdu International Grand Finals yang berlangsung di China dari 20 hingga 23 Mac 2026.
Dua beradik tersebut, R. ANJHANAH dan R. ANJHANIE, 8 tahun, berjaya mencuri perhatian juri menerusi kategori persembahan berkumpulan bertajuk “Two Police Officers, One Mission” yang disampaikan dalam Bahasa Inggeris.
Pertandingan berprestij itu menghimpunkan lebih 150 peserta dari 22 negara termasuk Malaysia, China, Thailand, Vietnam, Singapura, Jerman dan Indonesia, menjadikan pencapaian mereka satu kejayaan yang amat membanggakan.
Menurut Anjhanah, pengalaman beraksi di pentas antarabangsa merupakan suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
“Kami sangat gembira dan bangga dapat mewakili Malaysia ke pentas antarabangsa.
“Pada mulanya kami berasa amat gementar tetapi apabila sudah naik ke atas pentas kami cuba buat yang terbaik dan saling membantu antara satu sama lain,” katanya kepada wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL dan DARWINA MOHD. DAUD ketika ditemui baru-baru ini.
Kata Anjhanah, penilaian pertandingan adalah tertumpu kepada beberapa aspek iaitu penyampaian, keyakinan, ekspresi, kejelasan, kawalan pentas serta impak keseluruhan persembahan.
“Ramai yang berkata walaupun saya dan kembar masih muda, kami berjaya menampilkan persembahan yang mantap dan penuh berkeyakinan.
“Malah, sejak prasekolah lagi, saya dan Anjhanie telah aktif dalam aktiviti pengucapan awam dan pernah memenangi tempat pertama serta kedua dalam pertandingan peringkat sekolah ketika di tahun satu.
“Ini adalah bukti bahawa murid sekolah rendah juga mampu bersaing pada peringkat antarabangsa jika diberi peluang dan bimbingan yang betul.
“Momen ini lebih daripada sekadar kemenangan, malah ia menjadi inspirasi kepada rakan-rakan sebaya bahawa minat, disiplin dan keberanian mampu membuka peluang yang lebih luas,” ujarnya.
Menurut Anjhanie pula, persediaan ke pentas antarabangsa bukan sesuatu yang mudah, sebaliknya memerlukan latihan yang intensif.
“Kami berlatih secara konsisten dari segi hafalan, sebutan, ekspresi dan bahasa badan yang sudah pasti memberikan cabaran yang tersendiri.
“Malah, ibu bapa kami merupakan tulang belakang terpenting dek sering memastikan kami bersedia dari segi emosi dan keyakinan.
“Selain mendapat bimbingan daripada barisan guru di sekolah, kami juga mengikuti latihan di bawah program Deemcee Speaking Program,” jelasnya.
Mengimbas momen paling bermakna, pasangan kembar ini mengakui rasa teruja apabila menerima dua anugerah di pentas antarabangsa.
“Saat nama kami dipanggil adalah momen paling menyeronokkan dan kami masih dalam keadaan tidak percaya ketika itu.
“Kami tidak menyangka langsung akan mendapat dua anugerah dan sokongan daripada orang ramai,” tambah Anjhanah.
Pada masa hadapan, kembar tersebut berharap untuk terus aktif dalam bidang pengucapan awam dan menyertai lebih banyak pertandingan bagi meningkatkan kemahiran komunikasi serta keyakinan diri.
“Kejayaan ini bukan sahaja telah mengharumkan nama sekolah, malah membuktikan bahawa usia muda bukan penghalang untuk mencapai kejayaan di pentas dunia.
“Diharapkan pencapaian menjadi inspirasi kepada murid lain untuk berani mencuba serta mengembangkan potensi diri,” tutur Anjhanie mengakhiri wawancara.
Difahamkan, kejayaan kembar tersebut di Chengdu adalah kesinambungan daripada pencapaian cemerlang pada peringkat kebangsaan apabila meraih pingat emas dalam pertandingan The Speech of Asia 2026.
Saringan tersebut berlangsung pada 14 hingga 15 Februari 2026 di Damansara Performing Arts Centre (DPAC), Petaling Jaya, sekali gus melayakkan mereka ke peringkat akhir antarabangsa.