Kementerian digesa tambah doktor pakar, naik taraf HSB

SUNGAI BAKAP – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa segera menaik taraf Hospital Sungai Bakap (HSB) serta menyediakan cukup tenaga doktor pakar sejajar dengan populasi penduduk yang kian meningkat di Daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Maktar Shapee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap serta ADUN Jawi, Soon Lip Chee memberitahu, gesaan itu adalah wajar memandangkan hospital kerajaan tersebut turut menerima lambakan pesakit dari negeri jiran, Kedah dan Perak.

“Orang-orang dari Parit Buntar pun gemar ke sini kerana apabila tidak cukup kepakaran di sini, mereka hanya akan dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) ataupun Hospital Pulau Pinang (HPP), dan bagi mereka adalah tidak terlalu jauh.

“Berbanding Hospital Parit Buntar, jika kes tidak dapat diselesaikan, mereka akan dirujuk ke Hospital Taiping atau Ipoh yang jaraknya lebih jauh.

“Dari sudut itu, kita dapat lihat impak dan kepentingan HSB yang perlu dinaik taraf dari segi tenaga pakar, katil serta bangunan tambahan,” tegasnya dalam sidang media di sini baru-baru ini.

Manakala, Lip Chee pula menyatakan bahawa pihaknya beberapa tahun lepas pernah menulis surat kepada KKM
berhubung isu berbangkit, namun tiada maklum balas lanjut.

“Saya juga sepakat bersama Dato’ Maktar akan sekali lagi menulis surat kepada KKM dalam menyuarakan hasrat penduduk di sini yang mahukan hospital lebih selesa dan mempunyai kemudahan lengkap.

“Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya (Ahli Parlimen Balik Pulau) datang melawat baru-baru ini, namun kita tidak pasti sama ada ianya akan dinaik taraf atau tidak,” jelasnya.

Tambah Lip Chee, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang baru-baru ini mendedahkan bahawa HSB pada 2016 mencatatkan kadar penggunaan katil 51.05 peratus daripada 105 katil.

“Ini bukan kerana HSB tidak dikunjungi, namun disebabkan tiada tenaga pakar, mereka dipindahkan ke HSJ dan HPP,” ujarnya.