Kemeriahan sambutan Tahun Baru Cina mesej negara kian pulih daripada pandemik

Admin

BUKIT TENGAH – Kemeriahan sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini memberi mesej bahawa negara kini semakin pulih daripada pandemik COVID-19 yang melanda sejak Mac 2020.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini dijangka akan diraikan secara besar-besaran termasuk oleh hampir semua pertubuhan berkaitan di negeri ini.

“Sebagai wakil rakyat dan pemimpin masyarakat, marilah kita memberikan sokongan kepada majlis sedemikian demi menghantar satu mesej penting bahawa kita sudah pulih daripada pandemik dan sedia untuk memulihkan kegiatan sosial, ekonomi, budaya dan agama.

Ketua Menteri hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran MPKK Perkampungan Juru dan MPKK Kampung Baru Juru.

“Saya pasti sambutan pada tahun ini diraikan bukan sekadar 15 hari seperti tahun-tahun lepas tetapi akan berlanjutan selepas Chap Goh Mei atau mungkin sehingga 30 hari sebagaimana sambutan Hari Raya Aidilfitri yang disambut sepanjang bulan Syawal,” katanya semasa berucap pada majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina dekat tapak Pasar Malam Perkampungan Juru di sini sebentar tadi.

Majlis yang dianjurkan oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Perkampungan Juru dan MPKK Kampung Baru Juru berlangsung meriah serta dihadiri ratusan penduduk setempat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Selain menjamu selera, majlis turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian dan tarian moden serta tradisional.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung; Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Ir. Baderul Amin Abdul Hamid; beberapa Ahli Majlis bagi MBSP; Pegawai Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri, Lay Hock Peng serta ahli jawatankuasa MPKK berkaitan.

Menyantuni penduduk yang hadir.

Pada kesempatan sama, Kon Yeow merakamkan penghargaan kepada pengundi-pengundi Batu Kawan khususnya di Bukit Tengah dan Perkampungan Juru kerana memilih beliau sebagai Ahli Parlimen.

“Saya pasti ini adalah satu mandat yang kuat dan dengan mandat ini, jangkaan pengundi serta rakyat terhadap saya dan jentera Kerajaan Negeri juga amat tinggi.

“Oleh itu, kita perlu menyambut cabaran ini bagi memastikan mandat yang diberikan rakyat tidak disia-siakan, sebaliknya kita perlu menunaikan tanggungjawab dengan lebih serius bagi menangani masalah-masalah yang berlaku di seluruh kawasan parlimen Batu Kawan,” serunya.

Bersama-sama pihak penganjur.

Sementara itu, Hsiao-Leung menyatakan bahawa kebersamaan ditunjukkan oleh penduduk di Bukit Tengah yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama menunjukkan bahawa masyarakat di negeri ini mampu hidup dalam suasana harmoni.

“Paling penting adalah kita perlu hentikan politik perkauman ekstrem yang giat dimainkan oleh sesetengah pihak di negara ini khususnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu,” serunya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS