Kempen kesedaran hubungan kekeluargaan diharap wujudkan masyarakat harmoni.

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menegaskan bahawa hubungan keluarga yang positif adalah dibina berasaskan masa berkualiti, komunikasi, kerjasama dan penghargaan sesama ahli dalam institusi berkaitan.

 

Menyokong kenyataan itu, menurut beliau, kanak-kanak yang menerima sokongan emosi dan psikologi yang kuat dilihat lebih cenderung untuk berjaya di masa depan berbanding sebaliknya.

 

“Atas sebab itu, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif mewujudkan taman-taman awam seperti Sia Boey Archeological Park, The WoodHaven Park, Traffic Garden dan pelbagai lagi persekitaran kondusif yang mana keluarga boleh meluangkan masa dalam mengeratkan hubungan kekeluargaan dalam kalangan ahli.

 

“Hari ini, institusi keluarga berdepan cabaran dalam persekitaran di sebalik kemajuan teknologi yang dikecapi.

 

“Mungkin ada sesetengah pihak menganggap ia bukan suatu masalah, namun secara peribadi saya anggap ia adalah sebaliknya, yang mana apabila ahli keluarga lebih banyak menghabiskan masa degan gajet berbanding berinteraksi sesama ahli keluarga sendiri,” ujarnya ketika merasmikan Program Cultivating Family Togetherness: Yours, Mine and Ours anjuran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Kolej UOW Malaysia KDU Penang dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan Wanita Dan Keluarga (JPWK) Padang Kota di sini hari ini.

 

Turut hadir, Pengerusi JPWK Padang Kota, Datin Yeoh Phaik Suan; Naib Canselor UOW Malaysia KDU Penang, Prof. Dr. Chong Beng Keok dan Ketua Program Komunikasi dan Pengajian Media UOW Malaysia KDU Penang, Dr. Tan Lee Ooi.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow turut menzahirkan kebimbangan mengenai peningkatan kes keganasan rumah tangga yang meningkat pada tahun lepas berbanding 2020.

 

“Pandemik COVID-19 terbukti antara penyebab terjadinya keganasan rumah tangga yang mana menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, 7,468 kes keganasan rumah tangga dilaporkan tahun lalu berbanding 5,260 kes (2020) dengan melibatkan peningkatan sebanyak 42 peratus.

 

“Justeru, saya melihat pandemik COVID-19 bukan sahaja memberi kesan kepada kehidupan keluarga dan rutin harian, malah juga kepada hubungan sosial serta ekonomi lalu menjurus kepada tekanan emosi dan terjadinya keganasan rumah tangga,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Melalui penganjuran tersebut, penganjur menyasarkan kempen peningkatan kesedaran terhadap hubungan kekeluargaan dalam mewujudkan masyarakat yang harmoni.

 

Aktiviti-aktiviti menarik seperti jualan makanan, panggung wayang mini, aktiviti permainan, open heart session dan pelbagai lagi diharap dapat mengeratkan lagi keharmonian keluarga di negeri ini.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI