Kempen keselamatan dan pencegahan jenayah dialu-alukan

KETUA Menteri (tengah) saling berbincang dengan barisan pemimpin Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di Komtar pada 29 September 2023 berhubung kempen kesedaran berkaitan peringkat akar umbi komuniti Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menerima kunjungan hormat delegasi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) yang dipengerusikan oleh Dato’ Ong Poh Eng di sini sebentar tadi.

Pada pertemuan tersebut, Setiausaha MCPF, Johnny Micheal Tan membentangkan laporan aktiviti Yayasan berkaitan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan bagi meningkatkan tahap kesedaran keselamatan serta pencegahan jenayah peringkat akar umbi di seluruh negeri ini.

Kata Penasihat Yayasan, Prof. Madya Dr. Dato’ P. Sundramoorthy, MCPF ketika ini sedang giat bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melaksanakan kempen kesedaran berkaitan terutama di kawasan luar bandar.

Justeru, beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri hari ini atas segala sokongan secara langsung dan tidak langsung demi menjayakan kempen keselamatan dan pencegahan jenayah selama ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi MCPF, Dato’ Seri K. Pulayantran; Major (B) Dato’ M. Kaleessvaran (ahli jawatankuasa, AJK), K. Harikumar (Bendahari), Felix Chuah Gim Chuan (Pengerusi Penyelaras Jawatankuasa Daerah Timur Laut), James Mohan (Pengerusi DTC Barat Daya), B.M. Palamaguru (Pengerusi DTC Seberang Perai Selatan), M. Munusamy (Pengerusi DLC Seberang Perai Utara); Joseph Sawaremuthu (AJK) dan Victor Lim Kok Hooi (AJK).

Dalam reaksi balas, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi mengalu-alukan segala inisiatif MCPF dalam menyusun program kempen kesedaran keselamatan dan pencegahan jenayah di negeri ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING