SEBERANG JAYA – Kempen Pasar Malam Bersih 2026 diharap menjadi pemangkin kepada pembudayaan amalan kebersihan secara berterusan dalam pengurusan pasar malam di Seberang Perai, sekali gus membentuk budaya kebersihan sebagai tanggungjawab bersama.
Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Mohd. Ibrahim Md. Nor berkata, kebersihan perlu dijadikan sebagai etika berniaga dan tanggungjawab bersama semua pihak yang terlibat dalam ekosistem pasar malam.
Menurut beliau, sebanyak 75 lokasi pasar malam beroperasi di Seberang Perai meliputi 21 lokasi di Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT, 30) dan Seberang Perai Selatan (SPS, 24).
“Pasar malam bukan sekadar tempat jual beli, malah menjadi nadi ekonomi komuniti, sumber rezeki peniaga kecil serta ruang interaksi sosial dan tarikan identiti sesuatu kawasan.
“Justeru, kebersihan pasar malam perlu diberi perhatian secara konsisten bagi memastikan persekitaran yang selesa, selamat dan kondusif kepada peniaga serta pengunjung,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Kempen Pasar Malam Bersih 2026, di sini pada 15 Julai 2026.

Hadir sama, barisan Ketua Whip dan Ahli-ahli Majlis MBSP serta wakil-wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jalan Tenggiri.
Mengulas lanjut, Mohd. Ibrahim berkata bahawa MBSP bertanggungjawab menyediakan kemudahan, menyelaras operasi serta melaksanakan penguatkuasaan bagi memastikan tapak pasar malam berada dalam keadaan bersih dan teratur.
Jelas beliau, penganjur pula perlu menguruskan operasi pasar malam secara sistematik serta mematuhi syarat yang ditetapkan, manakala peniaga bertanggungjawab memastikan kebersihan gerai, mengurus sisa dengan baik dan membersihkan tapak selepas selesai berniaga.
“Pengunjung juga memainkan peranan penting dengan membuang sampah di tempat yang disediakan dan bersama-sama menjaga kebersihan kawasan.
“Jika kebersihan dijadikan amalan harian, ia bukan sahaja meningkatkan keyakinan pengunjung, malah memberi nilai tambah kepada perniagaan serta membantu memacu perkembangan ekonomi peniaga,” ujarnya.

Serentak itu, Mohd. Ibrahim turut berharap kempen tersebut dapat mewujudkan budaya baharu dalam kalangan semua pihak agar kebersihan tidak lagi dilihat sebagai tanggungjawab satu pihak semata-mata.
“Matlamat kita adalah untuk mewujudkan pasar malam yang meriah, bersih, selamat dan teratur sekali gus meningkatkan imej Seberang Perai.
“Justeru, saya menyeru komitmen bersama semua pihak agar kempen ini memberi manfaat berpanjangan dan menjadi legasi yang membanggakan untuk Seberang Perai,” katanya lagi.
Teks & Gambar : NUR ASHIKIN ISMAIL