Kempen ‘Penang Lawan COVID-19’, jom bersama jayakannya!

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri hari ini melancarkan kempen komunikasi khas ‘Penang Lawan COVID-19’ dalam usaha memastikan penyampaian info dan maklumat terkini berkaitan wabak pandemik tersebut disampaikan kepada rakyat secara lebih cekap, teratur dan berkesan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada sidang media pengumumannya sebentar tadi berkata, Kerajaan Negeri komited bersama-sama seluruh rakyat Pulau Pinang untuk mencegah penularan wabak berkaitan di negeri ini.

Menurut beliau, kempen ‘Penang Lawan COVID-19’ adalah penting sebagai langkah pertama dalam membendung penularan berita dan fakta tidak sahih yang boleh mengundang keadaan cemas dan panik dalam kalangan umum.

“Kempen ini akan membekalkan maklumat-maklumat pencegahan yang perlu berdasarkan panduan serta nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

“Ia penting sebagai platform untuk mewujudkan rasa tanggungjawab bersama dalam menyatupadukan seluruh rakyat Pulau Pinang ke arah mencegah penyebaran wabak pandemik ini,” ujarnya sambil menzahirkan penghargaan kepada warga KKM dan JKNPP yang ketika ini sedang berkorban tenaga dan bertarung nyawa dalam mencegah, merawat dan melindungi rakyat Malaysia daripada wabak tersebut.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan, Yeoh Soon Hin.

Info dan maklumat berkaitan COVID-19 boleh diakses melalui Facebook rasmi kempen ‘Penang Lawan COVID-19’ di https://www.facebook.com/ilovpg.

Ketika ditanya berhubung statistik terkini kes COVID-19 di Pulau Pinang, Kon Yeow dalam responsnya memberitahu bahawa secara dasarnya Kerajaan Negeri tidak mempunyai sebarang data primer kerana data sahih hanya akan diumumkan oleh pihak KKM.

“Namun, apa yang kita boleh berikan adalah data sekunder kedua berdasarkan apa yang telah diumumkan oleh pihak KKM… dan ini hanya dapat dilakukan beberapa jam kemudiannya.

“Tindakan pihak KKM kini yang memberikan maklumat lebih menyeluruh berdasarkan perincian negeri dilihat membantu pihak berkuasa tempatan dan agensi bertanggungjawab untuk memantau serta menjalinkan kerjasama lebih erat dengan KKM untuk menanganinya,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi.

Serentak itu, menerusi kempen berkenaan beberapa langkah drastik untuk keselamatan seluruh rakyat Pulau Pinang turut diambil iaitu:

• Semua program Kerajaan Negeri dan organinasi swasta yang melibatkan perhimpunan awam perlu dibatalkan mengikut garis panduan KKM.

• Semua agensi negeri, premis-premis swasta dan institusi-institusi pendidikan (kerajaan serta swasta) diarahkan untuk mematuhi langkah-langkah kesihatan awam
i. Semua orang yang memasuki premis agensi negeri, premis swasta dan institusi-institusi pendidikan (kerajaan serta swasta) akan diperiksa suhu badan mereka.
ii. Pencuci tangan akan disediakan
iii. Penjarakkan sosial perlu diamalkan.
iv. Kakitangan awam serta swasta yang mempunyai gejala COVID-19 akan diminta bercuti.

• Kedua-dua Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan mengarahkan premis-premis perniagaan, termasuk premis makanan serta pusat penjaja di negeri Pulau Pinang untuk mematuhi langkah-langkah kesihatan awam seperti di atas.

• Kempen kesedaran kesihatan awam akan dianjurkan di seluruh negeri untuk memberikan maklumat dan kesedaran berkaitan cara-cara melindungi diri dan keluarga.

• Bagi sebarang maklumat berhubung produk-produk penutup muka, pencuci tangan dan termometer, sila dapatkan maklumat menerusi Persatuan Farmasi Komuniti Malaysia (MCPG) di mcpg.org.my.

• Orang ramai juga boleh menghubungi Crisis Preparedness & Response Centre (CPRC), JKNPP melalui alamat e-mel: [email protected] atau menerusi talian 04-262 9902.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : CHAN KOK KUAN