Kempen Sifar Kematian Denggi perlu komitmen bersepadu peringkat komuniti setempat – Ketua Menteri

Admin
KETUA Menteri (tengah) menyempurnakan acara gimik perasmian Majlis Gotong Royong Mega Perangi Aedes 1.0 dan Pelancaran One Hour Malaysia Clean Up Bersempena Hari Denggi ASEAN Peringkat Daerah Seberang Perai Tengah (SPS) dekat Taman Sri Rambai di sini pada 24 Jun 2023.

PADANG LALANG – Sehingga 17 Jun tahun ini, jumlah kumulatif kes demam denggi dilaporkan di Pulau Pinang adalah sebanyak 4,799 kes berbanding 282 kes bagi tempoh sama pada tahun 2022 dengan peningkatan 1,602 peratus atau 4,517 laporan.

Bagi tempoh sama, rekod Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) mendedahkan bahawa terdapat enam kematian berbanding tiada kematian langsung pada tahun sebelumnya iaitu peningkatan sebanyak 600 peratus.

KETUA Menteri

Semasa berucap pagi ini, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa sempena sambutan Hari Denggi ASEAN yang diraikan saban tahun pada tanggal 15 Jun, beliau berharap semua pihak menyahut seruan bagi merealisasikan tema kempen pada tahun ini iaitu ‘Ke Arah Sifar Kematian Denggi’.

“Kita tidak seharusnya alpa akan tanggungjawab kita dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar yang mana bekas-bekas yang boleh menakung air atau sampah hendaklah dibuang ke tempat yang betul atau dikitar semula agar ia tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

“Tahap penjagaan alam sekitar dan keprihatinan masyarakat mempunyai kaitan yang rapat dengan risiko demam denggi.

“Justeru, tindakan proaktif dan bersepadu iaitu gotong-royong secara besar-besaran adalah perlu dilaksanakan pada kadar segera dengan melihatkan penduduk setempat, ketua komuniti, pasukan COMBI (Program Skuad Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku) dan agensi-agensi kerajaan serta NGO (pertubuhan bukan kerajaan) bagi memastikan pemusnahan tempat pembiayaan nyamuk Aedes dilakukan secara menyeluruh,” jelasnya kepada hampir 300 hadirin yang menyertai acara Gotong Royong Mega Perangi Aedes 1.0 dan Pelancaran One Hour Malaysia Clean Up Bersempena Hari Denggi ASEAN Peringkat Daerah Seberang Perai Tengah (SPS) dekat Taman Sri Rambai di sini pada 24 Jun 2023.

Kata Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, daripada 42 wabak demam denggi aktif yang direkodkan di negeri ini sehingga tempoh 17 Jun baru-baru ini, Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) merekodkan wabak tertinggi iaitu sebanyak 33 wabak, diikuti Daerah Timur Laut (7) dan satu wabak masing-masing di Daerah Seberang Perai Utara dan Daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

“Pada tahun ini sahaja, lokaliti Taman Sri Rambai telah merekodkan kejadian wabak demam denggi sebanyak 10 kali dengan jumlah kes membabitkan seramai 73 mangsa.

“Hasil tinjauan Pejabat Kesihatan Daerah SPT mendapati punca utama pembiakan nyamuk Aedes di Taman Sri Rambai adalah disebabkan pengumpulan barang-barang terpakai dalam kawasan rumah yang menjadi punca takungan air serta tempat pembiakan nyamuk Aedes seperti tong cat, baldi serta tempat simpanan air.

“Jadi, kita tahu kenapa diadakan acara ini di sini kerana Daerah SPT mencatatkan wabak demam denggi paling tinggi,” ujarnya sambil merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terus komited memerangi ‘virus pembunuh’ tersebut.

KETUA Menteri menunjukkan contoh jentik-jentik semasa melawat gerai pameran di sini pada awal pagi tadi.
BEBERAPA sukarelawan sedang memburu datang pembiakan jentik-jentik semasa acara gotong-royong di sekitar Taman Sri Rambai di sini tadi antara yang sempat dirakamkan lensa Buletin Mutiara tadi.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Datin Dr. Azizah Ab. Manan turut berucap dalam majlis pelancaran kempen kesedaran tersebut.

Hadir sama, Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang; Pegawai Daerah SPT, Kamarul Haizal Koderat; Pegawai Kesihatan Daerah SPT, Dr. Noraishah Jaafar.

Dalam sidang media selepas itu, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan menyatakan bahawa JKNPP sehingga kini mengenal pasti sebanyak 20 hotspot wabak yang mana paling banyak adalah di sekitar daerah SPT.

Walaupun dalam beberapa minggu ini menyaksikan trend wabak kian menurun, beliau memberitahu bahawa semua pihak mesti terus berkempen supaya amalan memastikan kawasan persekitaran benar-benar bersih serta tidak menjadi tempat pembiakan denggi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD