Kempen Tiada Beg Plastik ‘gempur’ Bazar Ramadan

Admin
PHEE Boon Poh (belakang sekali, paling kanan) diiringi Azhar Arshad (belakang sekali, tiga dari kiri) merakamkan gambar dengan para sukarelawan pelajar sebelum acara ‘menggempur’ Kempen Tiada Plastik dan Kempen Sisa Sifar di Bazar Ramadan Seberang Jaya di sini pada 23 Mac 2023.

SEBERANG JAYA – Hampir seratus sukarelawan terdiri dalam kalangan pelajar dari beberapa sekolah sekitar bahagian Pulau dan Seberang Perai menyertai Kempen Cabaran VLog Sisa Sifar sempena hari pertama pengoperasian Bazar Ramadan Seberang Jaya di sini pada 23 Mac 2023.

Semasa berucap, Exco Kebajikan dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh memberitahu bahawa beliau berhasrat untuk memperluas penggunaan alat penapis sisa makanan di semua pasar awam sebelum penguatkuasaan sepenuhnya peringkat Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kelak.

“Kerajaan Negeri ada cadangan untuk meletakkan alat penapis makanan (yang mana) saya sedang berbincang dengan syarikat yang bertanggungjawab supaya mereka dapat menghantar kertas cadangan (bagi pemasangan alat perangkap sisa makanan di pasar-pasar awam seluruh negeri).

“Saya ada keyakinan jika dapat kerjasama semua, kita (Kerajaan Negeri) akan memasang alat (perangkap sisa makanan) ini, selepas itu kita (Kerajaan Negeri) akan membuat penguatkuasaan secara berperingkat hingga tahap sepenuhnya,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu.

Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Local Action 21 MBSP; Penang Green Council (PGC); pertubuhan bukan kerajaan (NGO) GREW; Persatuan Pendidik Lestari Hijau Pulau Pinang dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jalan Tenggiri (selaku penganjur Bazar Ramadan Seberang Jaya) yang terlibat dalan menjayakan VLong Sisa Sifar @Bazaar Ramadan.

Sebelum pada itu, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad berkata kempen kesedaran sifar sisa yang dilancarkan itu sekali gus dapat mengelak risiko lambakan sisa makanan sepanjang bulan Ramadan.

“Belanja ikut keperluan sahaja, jangan ikut ‘nafsu’ mata.

“MBSP memang menyokong usaha-usaha ke arah Agenda Hijau dengan mengurangkan penjanaan sampah.

“Di samping itu, kita (MBSP) menggalakkan pekomposan untuk mengurangkan jumlah penghantaran sampah ke Pusat Pelupusan Sampah Pulau Burung,” ujarnya sambil memberitahu bahawa setiap hari sejumlah 2,200 tan metrik sampah dihantar ke pusat pelupusan sampah tersebut yang terletak di Daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

Menurutnya lagi, setiap tahun MBSP membelanjakan kira-kira RM20 juta bagi menguruskan sampah di ketiga-tiga Daerah Seberang Perai, yang mana peruntukan tahunan ini dapat dijimatkan sekiranya semua pihak melibatkan diri dalam menjayakan Kempen Sisa Sifar.

Selain itu, beliau turut memberitahu bahawa 57.2 peratus kadar kitar semula pada tahun 2022 berbanding 42.6 peratus pada tahun 2016 adalah disebabkan pelbagai pihak menyertai program kempen kesedaran berkaitan anjuran MBSP selama ini.

Turut berucap, Jerome, iaitu jurucakap bagI NGO GREW.

Dua Ahli Majlis MBSP, Tan Chee Teong dan Tan Choo Eng serta beberapa pegawai Local Action 21 MBSP turut sertai majlis pelancaran acara menggempur Kempen Sifar Sisa di bazar tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD