AIR ITAM – Kemudahan tandas awam di Kompleks Makanan Kampung Baru, Air Itam siap dinaik taraf dengan peruntukan sebanyak RM138,892 bagi meningkatkan tahap keselesaan, kebersihan dan kemudahan kepada peniaga serta pengunjung.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang berkata, kerja-kerja penaiktarafan yang bermula pada 22 Jun lalu berjaya disiapkan sepenuhnya pada 21 Oktober 2026.

“Projek ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk menambah baik kemudahan awam di bawah seliaannya, khususnya di pasar awam dan kompleks makanan.
“Penaiktarafan ini melibatkan pembaharuan hampir keseluruhan peralatan dan aksesori tandas, termasuk penggantian tandas cangkung kepada tandas duduk serta pemasangan palang sokongan (grab bar) bagi memudahkan penggunaan oleh warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

“Selain itu, tandas OKU turut dilengkapi sistem penggera kecemasan bagi membolehkan bantuan diberikan sekiranya berlaku sebarang kecemasan ketika kemudahan tersebut digunakan,” katanya pada sidang media selepas meninjau kemudahan berkenaan di Kompleks Makanan Kampung Baru, di sini pagi tadi.
Hadir sama, Setiausaha Bandaraya MBPP, Sr. Cheong Chee Hong; Ahli Majlis MBPP, Rohaizat Hamid dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBPP, Rashidah Jalaludin.
Tambah Soon Siang, tandas wanita turut dilengkapi ruang penghadang privasi bagi memberikan keselesaan kepada pengguna, manakala kemudahan menukar lampin bayi turut disediakan.
Katanya, kerja-kerja pembaharuan lain merangkumi pemasangan pengering tangan, dispenser sabun, bidet, pili air serta aksesori dalaman yang baharu dan berkualiti.
“Kompleks Makanan Kampung Baru merupakan antara kemudahan awam yang telah lama beroperasi dan menjadi tumpuan masyarakat setempat.
“Justeru, usaha menaik taraf ini mengambil kira keperluan semasa pengunjung daripada pelbagai peringkat umur, termasuk warga emas dan OKU.
“MBPP akan terus meneliti dan menaik taraf kemudahan awam sedia ada dari semasa ke semasa bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan sentiasa memenuhi keperluan masyarakat,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan bahawa hasil kutipan cukai taksiran merupakan antara sumber kewangan penting yang membolehkan MBPP melaksanakan pelbagai projek penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan awam, termasuk menaik taraf tandas, pasar serta laluan pejalan kaki.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya bersama-sama menjaga kemudahan yang disediakan dengan menggunakannya secara berhemah, selain mengelakkan pembaziran air dan elektrik.
“Walaupun kemudahan telah dinaik taraf, aspek penjagaan dan tanggungjawab pengguna juga amat penting bagi memastikan tandas sentiasa berada dalam keadaan bersih dan selesa untuk kegunaan semua,” serunya.
Sementara itu, Rashidah memaklumkan bahawa kadar bayaran penggunaan tandas berkenaan masih belum ditetapkan.
Menurutnya, berdasarkan pemerhatian pihak MBPP, pelaksanaan sistem tandas berbayar didapati dapat membantu mengekalkan tahap kebersihan yang baik serta mengurangkan kejadian vandalisme.
“Selain itu, MBPP turut melaksanakan inisiatif mengambil semula bekas kakitangan yang telah bersara daripada perkhidmatan MBPP untuk berkhidmat sebagai penjaga tandas awam bagi memastikan kebersihan kemudahan berkenaan sentiasa terpelihara,” katanya.