GEORGE TOWN – Penganjuran Piala Integrasi Ketua Menteri Pulau Pinang bukan sekadar medan persaingan bola sepak, sebaliknya menjadi wadah penting dalam menyatukan masyarakat berbilang kaum, agama dan latar belakang menerusi semangat kesukanan.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, penyertaan sebanyak 12 pasukan dalam edisi ke-12 pertandingan tersebut membuktikan komitmen berterusan Kelab Bola Sepak Seri Tanjung dalam menjadikan sukan sebagai medium memperkukuh perpaduan dan mengeratkan hubungan komuniti.
“Penganjuran Piala Integrasi Ketua Menteri bukan sekadar medan persaingan bola sepak, tetapi wadah menyatukan masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.
“Dalam sebuah negeri yang kaya dengan kepelbagaian seperti Pulau Pinang, sukan mempunyai kekuatan untuk merapatkan jurang perbezaan, yang mana di padang, kita disatukan oleh semangat berpasukan, disiplin dan matlamat yang sama,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Jamuan dan Penyampaian Hadiah Piala Integrasi Ketua Menteri Edisi Ke-12 2026 di Stadium Bandaraya dekat sini sebentar tadi.
Hadir sama, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Muhamad Nayim Othuman Mydin dan Presiden Kelab Bola Sepak Sri Tanjong, Ahmad Shah.

Pada pertandingan akhir sebentar tadi, pasukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pinang menang tipis ke atas Jabatan Penjara Pulau Pinang 1-0, dan dinobatkan sebagai juara edisi ke-12.
Difahamkan, juara membawa pulang Piala Pusingan Ketua Menteri, piala iringan johan serta wang tunai RM1,000.
Sementara itu, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota menyifatkan bahawa kejayaan Kelab Bola Sepak Seri Tanjung mengekalkan penganjuran pertandingan sehingga edisi ke-12 sebagai satu pencapaian membanggakan, memandangkan bukan semua program sukan mampu diteruskan secara konsisten untuk tempoh yang panjang.
“Saya berharap Kelab Bola Sepak Sri Tanjong akan terus memperluas aktiviti sukan dan kemasyarakatan serta mengekalkan Piala Integrasi Ketua Menteri sebagai tradisi yang mampu menarik penyertaan lebih ramai pihak pada masa hadapan.
“Kita mahu lebih ramai rakyat aktif bersukan, mengamalkan gaya hidup sihat serta membina disiplin dan semangat juang.
“Usaha ini selari dengan aspirasi Visi Penang2030 untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui pembangunan komuniti yang sihat, inklusif dan sejahtera,” jelasnya.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN