GEORGE TOWN – Seramai 104 individu menerima surat tawaran pemilikan Rumah MutiaraKu (RMKu) Jenis A dan B menerusi Skim Sewa Beli (Rent-to-Own, RTO) Kerajaan Negeri, sekali gus membuka peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki kediaman sendiri tanpa perlu menyediakan wang pendahuluan yang tinggi.
Majlis penyerahan surat tawaran tersebut disempurnakan oleh Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo di Komtar di sini petang tadi.
Menurut Sundarajoo, skim RTO membolehkan penerima memiliki rumah selepas membuat bayaran bulanan bagi tempoh yang ditetapkan dan menjadi alternatif kepada golongan yang belum berkemampuan menyediakan deposit serta kos guaman bagi pembelian rumah secara konvensional.
“Melalui skim ini, penerima hanya perlu membayar sewa bulanan bermula RM100 hingga RM310, bergantung kepada jenis dan lokasi kediaman, sebelum rumah berkenaan menjadi hak milik mereka selepas tamat tempoh perjanjian.
“Ini merupakan peluang yang kita (Kerajaan Negeri) sediakan melalui Lembaga Perunahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) supaya golongan yang belum mampu membeli rumah secara terus tetap mempunyai laluan untuk memiliki hartanah sendiri,” ujarnya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LPNPP, Khairilnizam Hashim.

Difahamkan, tawaran 104 unit berkenaan melibatkan beberapa projek perumahan termasuk Mak Mandin Indah, Taman Sungai Duri Permai, Seruling Emas, Desa Wawasan, Pekatara Indah, Bandar Putra Bertam dan Mekasari.
Mengulas lanjut, Sundarajoo berkata, Kerajaan Negeri turut memperkenalkan pendekatan berperingkat dalam membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan kemampuan kewangan sebelum beralih daripada skim rumah sewa kepada skim sewa beli.
Katanya, golongan yang mempunyai pendapatan isi rumah kurang RM1,700 sebulan diberikan keutamaan kepada penawaran rumah sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dengan kadar serendah RM90 sebulan, manakala mereka yang telah menunjukkan peningkatan kemampuan kewangan berpeluang beralih kepada skim RTO.
“Hasrat kita bukan sekadar menyediakan rumah untuk didiami, tetapi mahu membantu rakyat meningkatkan taraf ekonomi supaya mereka akhirnya mampu memiliki kediaman sendiri.
“Kita mahu mereka bergerak daripada rumah sewa kepada sewa beli dan seterusnya, sekiranya kemampuan mengizinkan, membeli rumah yang lebih sesuai dengan keperluan masing-masing,” jelasnya merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai.
Beliau turut menegaskan bahawa kediaman di bawah skim berkenaan perlu didiami oleh penerima yang dinamakan dalam surat tawaran dan tidak boleh disewakan semula atau dipindah milik kepada pihak lain tanpa kebenaran bagi memastikan manfaat subsidi benar-benar dinikmati golongan sasaran.
“Matlamat kita adalah memastikan tiada keluarga di Pulau Pinang yang tersisih daripada peluang mendapatkan tempat berteduh, tanpa mengira latar belakang dan tahap pendapatan mereka,” katanya.