Kenyataan Ketua Pembangkang Parlimen hina Mahkamah Persekutuan, Perlembagaan Pulau Pinang – Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Kenyataan Ketua Pembangkang Parlimen semalam disifatkan sebagai menghina keputusan Mahkamah Persekutuan serta Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian sebagai respons pada soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Lim Guan Eng dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang Ke-14 di sini pada 7 Mac 2023.

“Saya berasa apa yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang di Parlimen adalah suatu penghinaan kepada Mahkamah Persekutuan (dan) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang yang dengan jelasnya telah membuat keputusan yang mengesahkan kesahihan Perlembagaan Negeri (Pulau Pinang).

“Jadi, apa yang disuarakan selain daripada pandangan Mahkamah Persekutuan dan juga Perlembagaan Negeri adalah suatu penghinaan kepada Mahkamah Persekutuan dan Perlembagaan Negeri (Pulau Pinang),” responsnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini sebentar tadi.

Semalam, empat ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) diarahkan meninggalkan sidang DUN kira-kira pukul 1 tengah hari selepas usul supaya mereka mengosongkan kerusi masing-masing menggunakan Perkara 14A Perlembagaan Pulau Pinang disokong majoriti ADUN.

Mereka adalah Khalid Mehtab Mohd. Ishaq (Bertam); Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh); Dr. Afif Bahardin (Seberang Jaya) dan Zolkifly Md. Lazim (Teluk Bahang).

Menjawab soalan tambahan Guan Eng selepas itu, Kon Yeow berkata ‘ADUN Angkat’ akan dilantik dalam kalangan ADUN sedia ada bagi melaksanakan tugas di keempat-empat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) yang ‘kosong’ itu.

Jelas beliau lanjut, keempat-empat KADUN ‘kosong’ tersebut akan turut mendapat penyaluran peruntukan sama seperti ADUN yang lain.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS