Keperluan Persatuan Bomba Sukarela akan diteliti Kerajaan Negeri – Kon Yeow

Admin

BERAPIT – Kelengkapan semasa Persatuan Bomba Sukarela di negeri ini akan diteliti oleh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang demi meningkatkan lagi kualiti kesejahteraan hidup rakyat setempat.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian pembukaan operasi jentera bomba bertangki Persatuan Bomba dan Penyelamat Berapit Bukit Mertajam di sini pada 5 Januari 2019.

“Sememangnya banyak kali dalam mesyuarat Exco (Kerajaan Negeri), saya ada bertanya kepada pihak YB Phee Boon Poh (Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar) bagaimana Kerajaan Negeri dapat membantu (Persatuan) Bomba dan Sukarela di negeri kita.

“Setelah melawat kawasan ini, saya akan membawa balik (maklum balas awam) ke Mesyuarat Exco untuk melihat perkara ini, supaya pihak Kerajaan Negeri juga dapat memberi sedikit- sebanyak peruntukan bagi membolehkan Persatuan-persatuan Bomba Sukarela memainkan fungsi dengan secekapnya,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong pada majlis berkenaan.

Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi memberitahu bahawa pentadbirannya akan berusaha menangani isu status tanah tempat balai Persatuan Bomba Sukarela yang masih belum ‘selesai’, sekiranya melibatkan tanah-tanah milik Kerajaan Negeri.

Bercakap pada majlis sama, Timbalan Menteri Belia & Sukan, Steven Sim Chee Keong berkata bahawa Kerajaan Pakatan Harapan Persekutuan hari ini sebenarnya begitu mengiktiraf kerja-kerja kebombaan dan penyelamatan yang dilakukan oleh anggota bomba serta ahli-ahli Persatuan Bomba Sukarela.

Melalui Belanjawan 2020 Kerajaan Pusat, menurut Chee Keong, seramai 14,000 anggota Bomba dan Penyelamat di seluruh negara akan menerima elaun kritikal bulanan sebanyak RM200.

Selain itu, tambah beliau, pihaknya selaku Ahli Parlimen Bukit Mertajam turut menyumbang RM50,000 untuk membantu Persatuan Bomba Sukarela Berapit Bukit Mertajam membeli jentera Bomba bertangki yang baharu ini.

“Dengan segala usaha ini, ia secara tidak langsung menjadi suatu pengiktirafan kepada semua anggota (Jabatan) Bomba dan Penyelamat di seluruh Malaysia, serta ahli-ahli Persatuan Bomba Sukarela terutama di kawasan (Parlimen) Bukit Mertajam,” ujarnya yang juga ahli biasa Persatuan Bomba Sukarela Berapit Bukit Mertajam

Sebelum itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia, YS Saadon Mokhtar menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan bermula pada pertengahan bulan Disember tahun lepas telah menyalurkan geran sebanyak RM1,500 kepada semua 35 Persatuan Bomba Sukarela negeri termasuk Persatuan Bomba Sukarela Berapit Bukit Mertajam.

“Fungsi (Persatuan) Bomba Sukarela ini, secara umum, adalah melakukan kerja-kerja pemadaman (kebakaran) dan penyelamatan sekiranya berlaku kebakaran, sebelum ketibaan anggota Bomba yang sebenar,” ulas beliau.

Turut berucap, ADUN Berapit, Heng Lee Lee.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NURAFIQAH ZAINUDI
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS