Kepimpinan MPKK Datuk Keramat digesa lebih tegas pastikan SOP PKPP dipatuhi

Admin

DATUK KERAMAT – Kepimpinan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Datuk Keramat diseru untuk lebih tegas dalam memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan di kawasan masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), Jagdeep Singh Deo berkata pematuhan tersebut tidak seharusnya dipandang ringan memandangkan kes jangkitan di seluruh negara kini kembali menunjukkan kebimbangan, malah pandemik COVID-19 di beberapa negara luar telah memasuki gelombang kedua.

“Saya menggesa keseluruhan lapan MPKK di KADUN Datuk Keramat perlu bertegas terhadap pematuhan SOP lazim seperti memakai pelitup muka, penjarakan fizikal dan menjaga kebersihan serta pastikan semua SOP di institusi agama seperti masjid, surau dan lain-lain dipatuhi seperti mana yang telah ditetapkan,” gesa beliau ketika majlis pemberian sumbangan hamper sempena Aidiladha di pekarangan Masjid Acheh Kebun Lama di sini pagi tadi.

Hadir sama barisan pengurusan MPKK di kawasan tersebut.

Menjadi kelaziman setiap tahun menjelang Aidilfitri dan Aidiladha, golongan susah terpilih di KADUN berkenaan akan menerima pemberian hamper berupa barangan keperluan harian.

Untuk tujuan tersebut, Jagdeep yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa memperuntukkan sejumlah RM40,000 bagi mengagihkan 800 hamper kepada penduduk terpilih.

“Seperti biasa kita akan cuba membantu meringankan beban mereka yang susah, di mana kali ini saya mengagihkan 100 hamper kepada setiap MPKK di sini, dan mereka yang akan mengenalpasti penduduk yang susah di kawasan masing-masing untuk diberikan bantuan,” ujarnya.

Setiap hamper bernilai RM50 itu mengandungi barangan makanan keperluan harian seperti beras, bihun, susu, tepung, minyak dan lain-lain lagi.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD