Keputusan mansuh pencen dibuat selepas dapat hasil kajian – Ketua Menteri

Admin
whatsapp image 2024 01 29 at 10.32.17

GEORGE TOWN – Sebarang keputusan untuk memansuhkan pencen melibatkan ahli politik dan penjawat awam negeri Pulau Pinang hanya akan diputuskan selepas hasil kajian dibentangkan pada peringkat Persekutuan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita mengenai cadangan pemansuhan pencen bagi kakitangan awam yang baru dilantik.

“Perkara ini masih pada peringkat awal, jadi biarlah pihak berkenaan menghabiskan kajian dan penyelidikan mereka terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Saya percaya keputusan memansuhkan pencen pastinya akan melibatkan pindaan kepada beberapa akta sebelum ia dapat dilaksanakan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan projek naik taraf Linear Garden dekat Padang Kota, di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim serta Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, K. Pathmanathan.

Pada 24 Januari 2024, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Kabinet bersetuju perjawatan bagi penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.

Ahmad Zahid berkata, satu pengumuman mengenai tempoh pelaksanaannya akan dibuat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).

Beliau berkata, bagi penjawat awam sedia ada, status berpencen mereka tidak terjejas, sementara penjawat awam baharu itu kelak akan membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Januari lalu menyatakan bahawa cadangan memansuhkan pencen untuk pelantikan penjawat awam juga terpakai kepada ahli politik termasuk wakil rakyat.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN