Keputusan perintah larangan terlalu cepat, perlu minta pandangan pakar – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan perintah larangan ke atas penerbitan buku komik ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’ disifatkan terlalu cepat.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pihak berkuasa berkaitan sepatutnya meneliti buku komik tersebut dahulu dan memahami isi kandungannya sebelum mewartakan perintah larangan.

“Sebelum ini, difahamkan pada mulanya pihak kuasa berkaitan mahu menjemput pakar (sejarawan) untuk meneliti kandungan buku komik tersebut tetapi diharamkan (dikenakan perintah larangan) kerana didakwa mempunyai unsur ideologi komunisme.

“Sepatutnya minta pandangan pakar untuk teliti baru buat keputusan, dan semua ini berlaku tiba-tiba seolah-olah mempunyai niat tertentu (dalam perintah larangan cepat itu),” ujarnya pada sidang media di Komtar tadi.

Menurut Kon Yeow, pihak berkuasa berkaitan harus mempertimbangkan niat Dr. Hew Kuan Yau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perniagaan Bersama China – Malaysia (sebelum mengumumkan perletakan jawatan, semalam) untuk memperkenalkan kedudukan negara China sebagai salah satu alternatif ‘gergasi ekonomi’ selain Amerika Syarikat.

“Sebelum ini, terlalu banyak syak terhadap negara China, walaupun negara itu digelar ‘negara komunis’ tetapi dari segi ekonomi, mereka (China) mempunyai ramai yang berjaya.

“Dr. Hew (Kuan Yau) mahu menyerlahkan kejayaan ekonomi di negara China serta memperkenalkan pembangunan ala sosialisme (dan) tidak menyentuh mengenai komunis atau fakta yang mengelirukan mengenai perjuangan mereka di sini,” katanya.

Sementara itu, apabila disoal mengenai peruntukan dana kepada Muzium Kebudayaan Komik Asia, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri akan terus memberi sokongan mengikut perjanjian sehingga Disember 2020.

“Buku komik yang diharamkan bukan muzium tersebut dan berdasarkan perjanjian, Kerajaan Negeri akan terus memberi sokongan dana sehingga Disember 2020 nanti.

“Muzium tersebut bukan milikan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, dan Kerajaan Negeri hanya memberi tajaan bayaran sewa yang mana bayaran ini akan dibuat kepada PDC (Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang),” ulasnya.

Tambah Kon Yeow, muzium yang mula dibuka pada tahun 2016 itu merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang ketika itu untuk meremajakan semula bangunan Komtar.

Muzium tersebut mula dibuka pada tahun 2016 di Tingkat 2, ICT Mall @Komtar dan ketika itu Kerajaan Negeri sedang mengambil langkah meremajakan semula Komtar dengan membawa masuk unsur perniagaan baharu.

“Bukan sahaja muzium tetapi juga Tech Dome Penang, ICT Mall bagi usaha meremajakan semula Komtar sebagai pusat pentadbiran yang penting di samping menjadi pusat sivik serta pusat membeli-belah.

“Tambahan pula, muzium tersebut merupakan satu-satunya muzium komik di seluruh Asia yang mempromosikan kreativiti dan inovasi animasi ke seluruh negara,” katanya.

Sebelum ini, Kon Yeow turut menafikan dakwaan kononnya Kerajaan Negeri terlibat dalam penerbitan dan pengedaran buku komik ‘kontroversi’ malah menegaskan bahawa Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang tidak mempunyai kaitan dalam penerbitan berkaitan.

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD