Keputusan PKPB Pusat akan diteliti pada pagi ini, respons Kon Yeow

Admin

BUKIT TENGAH – Sejak Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020, Pasar Awam Juru dikenal pasti sebagai pasar awam pertama di negeri ini yang melaksanakan amalan penjarakan sosial, disinfeksi atau kerja-kerja pembasmian kuman pada premis, sanitasi tangan, pemakaian pelitup muka serta langkah-langkah pencegahan lain demi memutuskan semua rantaian perebakan wabak COVID-19.

Justeru, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada pagi ini menyampaikan sijil penghargaan kepada pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Perkampungan Juru atas kejayaan serta inisiatif penganjuran amalan-amalan kebersihan di pasar awam tersebut.

“Pasar awam ini dilaporkan sebagai pasar yang pertama mengamalkan penjarakan sosial.

“Sebagai contoh yang terbaik (adalah) penglibatan komuniti dalam menjayakan amalan jarak sosial serta pembersihan peribadi semasa pelaksanaan PKP ini.

“Sempena lawatan pada pagi ini, kita (Kerajaan Negeri) memberikan sijil penghargaan kepada MPKK Perkampungan Juru sebagai tanda menghargai kerjasama komuniti khususnya kepimpinan MPKK dan wakil rakyat bagi menjayakan amalan jarak sosial serta lain-lain,” jelasnya pada sesi lawatan Pasar Awam Perkampungan Juru di sini pada 3 Mei 2020.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung; Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud antara pemimpin Kerajaan Negeri yang menyertai lawatan khas tersebut.

KETUA Menteri (tengah) diiringi Gooi Hsiao-Leung (paling kiri), P. Kasthuriraani (paling kanan) dan Sr. Rozali Mohamud (tiga dari kiri) pagi tadi menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil MPKK Perkampungan Juru yang didapati paling awal menggerakkan komuniti di pasar awam di ketika PKP mula dilaksanakan pada 18 Mac 2020 lalu. 

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Kon Yeow memberitahu bahawa pada jam 9.30 pagi ini, Jawankuasa Keselamatan Khas Negeri (JKKN) Pulau Pinang bakal meneliti keputusan terbaru Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhuhung tatacara pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kerajaan Negeri akan bermesyuarat… dan akan meneliti apa yang diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan serta SOP (prosedur operasi standard) bagi sektor-sektor yang dibenarkan (beroperasi bagi tempoh PKPB).

“(Kemudian, Kerajaan Negeri) akan membuat satu keputusan berhubung kaedah-kaedah melaksanakan (PKPB) yang agak mencabar ini,” ulasnya yang juga Pengerusi JKKN Pulau Pinang.

Di samping itu, Kon Yeow menyatakan bahawa pihaknya telah mengarahkan Rozali dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang supaya meneruskan usaha pemantauan dan penguatkuasaan pada tahap sedia ada, walaupun selepas pelaksanaan PKPB nanti.

“Saya sudah mengarahkan kepada kedua-dua Datuk Bandar untuk melihat daripada segi pengerahan pegawai-pegawai penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT) ke kawasan-kawasan penjajaan di bawah PBT, supaya apa (SOP) yang telahpun ditetapkan sepanjang PKP ini dapat diteruskan,” tegasnya.

Tambah Kon Yeow, PKPB yang bakal dilaksanakan, pada bila-bila masa akan ditarik kembali sekiranya didapati menjejaskan tujuan asal pelaksanaan perintah itu kelak iaitu memutuskan semua rantaian perebakan wabak COVID-19.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD