Keputusan seri dan menang tipis antara ramalan pertembungan Terengganu dan Penang FC

Admin

GEORGE TOWN – Perlawanan bola sepak Terengganu FC menentang Penang FC dalam saingan Liga Super 2021 pada 1 Mei ini pastinya amat dinanti-nantikan oleh peminat -peminat bola sepak tempatan.

 

Kedua-dua pasukan kini, kelihatan berada pada momentum terbaik selepas menundukkan lawan masing-masing pada aksi sebelum ini.

 

Di atas kertas, dilihat Terengganu FC mempunyai sedikit kelebihan dengan menghuni tangga kedua carta Liga Super, meleburkan rekod tanpa kalah JDT FC dan bermain di padang sendiri di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin nanti.

 

Buletin Mutiara hari ini sempat melakukan tinjauan umum pra perlawanan yang bakal menemukan skuad Harimau Kumbang dan Sang Penyu Sabtu ini.

Pengurus Interim Penang FC Sdn. Bhd. , Muhammad Al-Hafiz Razali ketika dihubungi memberitahu Penang FC berdepan sedikit kesukaran ketika berjumpa pasukan Pantai Timur itu kelak ekoran masalah kecederaan.


“Ada sedikit kekangan ekoran kecederan beberapa ‘key player’ (pemain utama) seperti Khairu Azrin, Ryuji Utomo dan Al-Hafiz Harun.

 

“Bagi saya seri pun dah memadai, tetapi kalau menang itu rezeki, alhamdulilah,” ujarnya.

Bagi, anggota Ultras Phanters, Zamzuri Ibrahim, keputusan seri sudah memadai apabila bertandang ke tempat lawan.

 

“Kita sedar Terengganu FC mempunyai kekuatan di bahagian tengah dan sayap, sangat efektif, sama dengan pasukan Penang FC.

 

“Walaupun Penang FC menang besar dengan Sri Pahang, namun Sri Pahang bukan lagi pasukan elit, berbanding Terengganu FC mencatat kemenangan lebih berharga menumpaskan JDT FC,” katanya yang bertugas di Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Bekas pemain USM FC, Adam Abdul Malik memberitahu, walaupun bermain di tempat lawan, dia optimis Penang FC mampu mencatatkan kemenangan tipis 1-0.

 

Sementara itu bekas pemain bola sepak liga divisyen, Fedzal Kamal meramalkan Penang FC mampu sekurang-kurangnya seri dan membawa satu mata berharga.

 

“Pemain Terengganu FC dalam keadaan motivasi yang tinggi setelah menumpaskan juara bertahan JDT FC baru-baru ini.


“Namun pertahanan Penang FC dilihat antara yang kental untuk bertahan dengan asakan Terengganu FC, jadi keputusan seri sudah dikira baik untuk pasukan kita (Penang FC),” jelasnya.


Anak Terengganu yang membesar di Pulau Pinang Mohd. Shahrul Hezwad yakin skuad kendalian Nafuzi Zain, Terengganu FC hanya akan mencatat kemenangan tipis ke atas Penang FC.

 

“Kedua-dua pasukan nampak seimbang, tetapi kelebihan tetap ada pada Terengganu yang bermain di gelanggang sendiri untuk menang sekurang-kurangnya 2-1.

Seorang lagi anak Terengganu, Hafizan Marzuki dalam pada itu yakin Skuad Penyu mampu memungut tiga mata penuh hasil kemenangan 1-0 ke atas Penang FC.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI