Kerajaan hargai peranan, sumbangan NGO realisasikan Visi Penang2030 – Kon Yeow

Admin
KETUA Menteri berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Pertubuhan Kebajikan Jalan Kedah di sini pada 22 April 2023.

GEORGE TOWN – Peranan serta sumbangan Pertubuhan Kebajikan Jalan Kedah saban tahun menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di sini sejak 15 tahun lepas akan terus dihargai komuniti lokal.

Sambil memuji pihak penganjur, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya sejak tahun 2018 senantiasa menghargai peranan serta sumbangan yang dimainkan oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu Kerajaan Negeri merealisasikan Visi Penang2030.

KETUA Menteri (tujuh dari kiri) diiringi Teh Lai Heng (lapan dari kiri) dan Lim Hui Ying (lima dari kiri) turut merakamkan gambar kenangan bersama-sama barisan tonggak utama NGO Pertubuhan Kebajikan Jalan Kedah di sini tadi.

“Sebagaimana diketahui umum, pertubuhan yang sebelum ini dikenali sebagai Persatuan Belia Jalan Kedah ditubuhkan di bawah Register of Youth pada tahun 2000, dan ia memang diakui memberi banyak sumbangan dalam membangunkan potensi komuniti muda-mudi pada peringkat lokal khasnya,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan dalam majlis tersebut di perkarangan gelanggang bola keranjang, Kompleks Jalan Kedah dekat sini pada 22 April 2023.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa Pertubuhan Kebajikan Jalan Kedah dikenali bergiat aktif peringkat komuniti lokal dan negeri yang mana saban tahun turut menganjurkan majlis berbuka puasa dan bantuan Ramadan; Majlis Ibadah Korban; Maulidur Rasul; Kejohanan Karom; Pertandingan Sepak Takraw; Program Bantuan Kecemasan dan Kebajikan dan sebagainya.

KETUA Menteri (tiga dari kiri) turut menyertai acara memberi duit raya yang disediakan oleh pihak penganjur kepada kanak-kanak lokal di sini tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pentadbirannya berharap NGO di negeri ini dapat bersama-sama Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim menjayakan gagasan Malaysia Madani.

“Saya menghargai setiap pengorbanan dan komitmen yang dicurahkan oleh pihak NGO negeri Pulau Pinang dalam terus berkongsi idea demi percambahan pembangunan negeri ini dan juga dalam meningkatkan jalinan ukhuwah serta silaturahim sedia ada seluruh rakyat negeri ini.

“Serentak itu, saya mengambil peluang ini menyeru semua NGO di Pulau Pinang untuk bersama-sama Kerajaan Persekutuan menjayakan gagasan Malaysia Madani bertunjangkan sikap saling menghormati, meraikan kepelbagaian dan menjadi medan dialog peradaban,” ujarnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying yang juga Ahli Parlimen Tanjong turut berucap dalam majlis tersebut.

Hadir sama, ADUN Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri; Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Jalan Kedah, Dawood Mustaqim Inayadhulla; Muhammad Noor K. Mastan (Timbalan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Jalan Kedah) dan Mohamed Taufiq Kuthubutheen (Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Jalan Kedah).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN