Kerajaan harus siap-sedia hadapi peningkatan populasi warga tua negara ini – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow menyarankan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan yang mempunyai bangunan atau premis bersesuaian untuk dijadikan pusat aktiviti warga emas, tampil menjalinkan kerjasama bersama-sama agensi-agensi berwajib.

Menurut beliau, pertambahan populasi warga tua di Malaysia dijangka meningkat dalam tempoh 10 – 20 tahun ini.

Oleh itu, Kon Yeow merasakan bahawa kerajaan harus bersiap-sedia menghadapi peningkatan populasi warga tua di negara ini, dengan menggalakkan pembangunan berkonsepkan pusat penjagaan dan aktiviti warga tua dalam memastikan kemampanan masa depan.

“Saya sendiri dalam beberapa mesyuarat Exco lalu menyarankan bahawa mana-mana persatuan yang mempunyai bangunan atau premis bersesuaian di pusat bandar misalnya, ia (premis tersebut) bolehlah digunakan sebagai pusat aktiviti warga emas.

“Malah, Kerajaan Negeri juga kini sedang menerokai jalinan kerjasama bersama-sama agensi berwajib, misalnya mungkin Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mewujudkan sebuah pusat aktiviti harian bagi warga tua di negeri ini, ” ujarnya kepada pemberita sejurus mengadakan kunjungan ke rumah penjagaan warga tua, Grace Harmony Home dekat Jalan Thomas di sini tadi.

Turut mengiringi, Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim; Pengerusi Persatuan Penyayang Warga Tua Pulau Pinang, Andy Yeap dan Pengerusi Grace Harmony Home, Khoo Teik Ee.

 

CHOW Kon Yeow (kanan) dan Lim Siew Khim (tengah) meramahi salah seorang penghuni Grace Harmony Home di sini, petang tadi.

Jelas Kon Yeow, pusat aktiviti yang dicadangkan itu akan membolehkan warga emas berinteraksi sesama sendiri dan meluangkan masa bersama-sama melakukan aktiviti harian.

“Ia bukanlah pusat jagaan kesihatan, sebaliknya sebagai tempat untuk berinteraksi sesama sendiri dan melakukan aktiviti bersama-sama… demi kesejahteraan dan keharmonian warga emas.

“(Dan) saya juga merasakan bahawa perlu ada suatu dasar atau undang-undang mahupun infrastruktur yang sesuai sebagai persiapan menghadapi peningkatan populasi warga tua di negara ini,” katanya yang berharap agar lebih banyak premis atau bangunan berkonsepkan penjagaan kesihatan serta aktiviti warga tua diwujudkan di sini.

Terdahulu, Kon Yeow meluangkan masa kira-kira sejam di rumah penjagaan warga tua berkaitan.

Difahamkan, premis yang digunakan rumah penjagaan berkenaan adalah milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang disewa.

“Jadi, mereka berhasrat mencari sebidang tanah untuk dibangunkan rumah jagaan yang lebih selesa.

“(Dan) kita (Kerajaan Negeri) akan teliti sama ada kita boleh atau tidak dapatkan sebidang tanah seperti yang dihajatkan kerana ini adalah untuk kebajikan dan amal.

“Mereka (rumah penjagaan warga tua) pun kini beroperasi atas sumbangan orang ramai dan badan korporat bagi menampung 20 penghuni di sini,” jelasnya.

Rumah penjagaan warga tua, Grace Harmony Home tersebut dibangunkan Persatuan Penyayang Warga Tua Pulau Pinang dengan menempatkan warga emas berusia 60 tahun dan ke atas yang tidak mempunyai sanak-saudara.

  • RUMAH penjagaan warga tua Grace Harmony Home yang terletak di Jalan Thomas, dekat sini.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI