Kerajaan Negeri aktif promosi hasil pertanian dan produk buatan tempatan

Admin

PINANG TUNGGAL – Kerajaan Negeri Pulau Pinang aktif mempromosikan hasil pertanian dan produk buatan tempatan melalui penganjuran pelbagai program seumpama pameran serta pesta.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa semua program yang dianjurkan adalah bertujuan membantu peniaga kecil dan pekebun-pekebun tempatan untuk menjana pendapatan pada musim penularan pandemik COVID-19.

“Program hari ini contohnya, adalah sebagai platform bagi menggalakkan peniaga kecil serta petani-petani tempatan yang kebanyakannya datang dari kawasan Kepala Batas dan Tasek Gelugor untuk memperkenalkan produk mereka.

Chow Kon Yeow meninjau salah satu gerai jualan produk salah seorang usahawan kecil tempatan yang mengambil bahagian.

“Selain itu, ia juga merupakan usaha Kerajaan Negeri untuk memperkenalkan produk ekopelancongan di kawasan Seberang Perai Utara (SPU) khasnya yang berkaitan dengan penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan serta aktiviti penternakan,” katanya pada sedang media selepas menjayakan Pesta Buatan dan Hasil Pertanian Tempatan dekat Pejabat Pegawai Penyelaras Khas Kepada Ketua Menteri di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin; Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng; Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee; Pegawai Penyelaras Khas Kepada Ketua Menteri, Lay Hock Peng selaku tuan rumah serta ramai lagi.

Pada majlis itu juga, Kon Yeow turut menyampaikan sumbangan sayur-sayuran dan pelitup muka kepada pasukan barisan hadapan antaranya, Hospital Kepala Batas, Pejabat Daerah SPU, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kepala Batas serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM).

Menyampaikan sumbangan sayur-sayuran dan pelitup muka kepada barisan hadapan.

Selain itu, sebanyak 400 kupon turut diagihkan kepada keluarga memerlukan di kawasan SPU untuk membeli produk-produk yang dijual oleh peniaga kecil serta petani yang mengambil bahagian dalam program tersebut.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menjelaskan bahawa SPU merupakan kawasan yang kaya dengan destinasi semula jadi dan warisan di samping aktiviti pertanian serta penternakan yang berpotensi digabungkan sebagai satu pakej pelancongan lengkap.

“Semua elemen ini boleh digabungkan menjadi pakej ekopelancongan yang mana pelawat atau pelancong dapat merasai pengalaman selama satu atau dua hari bersama-sama pengusaha kecil, pekebun dan penternakan selain melawat beberapa destinasi semula jadi yang menarik.

“Pakej pelancongan ini boleh diperkenalkan sama ada kepada penduduk tempatan atau luar negeri untuk menarik kehadiran pelancong ke SPU sekaligus dapat menjana ekonomi setempat,” ulasnya.

Keluarga memerlukan di sekitar SPU turut menerima sumbangan.

Tambah Kon Yeow, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan tapak bagi membangunkan pusat ekopelancongan SPU dekat Pinang Tunggal.

“Ia adalah bertujuan untuk mempelbagaikan lagi sumber ekonomi supaya rakyat dapat menjana pendapatan sesuai dengan kegunaan tanah di kawasan ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Soon Hin menyatakan bahawa satu aplikasi mudah alih bagi Seberang Perai Utara sedang dibangunkan untuk memaparkan pelbagai produk tempatan yang boleh diakses melalui telefon bimbit.

“Aplikasi mudah alih ini bukan sahaja memperkenalkan makanan serta tempat menarik di SPU malah turut merangkumi perincian mengenai kedai-kedai menjual produk buatan tempatan dan hasil pertanian,” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS