Kerajaan Negeri alu-alukan peranan SPAN jayakan Projek Air Perak-Pulau Pinang

Admin
whatsapp image 2025 08 28 at 16.03.24

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengalu-alukan peranan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam segenap aspek bagi memastikan kejayaan pelaksanaan Projek Air Perak-Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada delegasi SPAN dekat Komtar di sini sebentar tadi.

“Kerajaan Negeri akan lakukan yang terbaik untuk memastikan Projek Air Perak-Pulau Pinang berjaya sekiranya dilaksana dan disiapkan kerana ia dapat meningkatkan daya tahan air di Pulau Pinang.

“Justeru, Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan sekiranya SPAN boleh memainkan peranan dalam pelbagai aspek bagi menjayakan projek ini,” katanya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.

whatsapp image 2025 08 28 at 16.03.23whatsapp image 2025 08 28 at 16.03.22whatsapp image 2025 08 28 at 16.03.25

Hadir sama dalam pertemuan tersebut ialah Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari; Pengerusi SPAN, Datuk Ir. Abdul Kadir Mohd. Din; Pengarah SPAN Wilayah Utara, Khithob Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Dato’ Ir. K. Pathmanathan serta barisan kepimpinan PBAPP dan SPAN.

Sebelum itu, delegasi SPAN turut mengadakan perbincangan kira-kira tiga jam bersama-sama barisan pengurusan PBAPP pada pagi tadi.

Kon Yeow menyatakan bahawa beliau percaya PBAPP selaku operator air tunggal negeri akan memgambil maklum semua pandangan, saranan dan teguran yang dikemukakan oleh pihak SPAN bagi menambah baik lagi aspek pengurusan air di negeri ini.

“Kerajaan Negeri sentiasa memberi sokongan kepada PBAPP memandangkan air merupakan keperluan asasi yang amat penting.

“Kita boleh lemah dalam apa jua tetapi tidak boleh sesekali lemah dalam pengurusan air kerana perkara itu akan membawa impak kepada semua pada setiap masa serta memberi kesan kepada pembangunan ekonomi negeri dan negara,” ujarnya sambil menambah bahawa masih banyak penambah baik yang boleh dilakukan khususnya berkaitan dengan perubahan teknologi.

Dalam pada itu, Abdul Kadir ketika berucap turut menyatakan sokongan SPAN terhadap usaha PBAPP dalam menambah baik aspek pengurusan bekalan air negeri ini.

Beliau turut menyifatkan PBAPP sebagai salah satu operator air terbaik dalam negara dan wajar dijadikan contoh kepada operator air lain yang sedang membangun.

“Secara konsistennya, PBAPP telah menunjukkan komitmen yang tinggi untuk mematuhi apa yang digariskan dalam akta dan juga syarat-syarat lesen khususnya dari segi operasi.

“Jadi, tujuan kunjungan ini adalah untuk melihat apa yang kami (SPAN) boleh lakukan bagi membantu PBAPP muncul sebagai operator air terbaik,” katanya sambil memuji inisiatif PBAPP dalam menguruskan sisa air yang bukan sahaja memberi manfaat kepada aspek pengurusan tetapi juga sumber kewangan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS