Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan perhatian Persekutuan bangunkan ekonomi Pulau Pinang – Kon Yeow

Admin

SEBERANG JAYA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan perhatian daripada kerajaan Persekutuan untuk membangunkan ekonomi negeri ini.

Beliau menegaskan bahawa Pulau Pinang juga akan sentiasa memainkan peranan supaya pembangunan ekonomi khususnya, bakal menarik pelaburan asing dalam sektor pembuatan yang seterusnya dapat mewujudkan peluang pekerjaan serta menambah urus niaga perdagangan sedunia serta serantau.

Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman diiringi Dr. Afif Bahardin menyampaikan sumbangan Tabung Benih Pulau Pinang kepada petani-petani terlibat.

 

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang berkesempatan meninjau Negeri Pulau Pulau dengan lebih dekat.

“Malah, saya juga difahamkan bahawa Menteri telah menyuarakan hasrat bagaimana kerajaan Persekutuan dan Negeri dapat menggembleng tenaga serta sumber bersama untuk memajukan lagi pembangunan sosial ekonomi Pulau Pinang yang akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

“Tahniah juga diucapkan ekoran setelah setahun menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, sudahpun menampakkan hasil kerana Malaysia kini sudah menjadi lebih mantap atas usaha gigih semua Menteri di peringkat Persekutuan,” ucapnya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin di sini sebentar tadi.

Chow Kon Yeow bergambar kenang-kenangan bersama tetamu-tetamu undangan khas.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran isteri Ketua Menteri, Puan Tan Lean Kee; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; ADUN-ADUN; Ahli-ahli Parlimen; barisan Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) serta barisan tetamu undangan khas lain.

Dalam pada itu, Afif dalam ucapannya memberitahu bahawa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Seberang Jaya kali ini menampilkan sedikit kelainan iaitu kerana bukan saja menghidangkan makanan dan minuman yang lazat, tetapi juga menyediakan reruai-reruai daripada agensi-agensi Kerajaan Negeri seperti Jabatan Pertanian, Veterinar serta perbagai lagi pihak terlibat.

Ribuan pengunjung tidak melepaskan peluang menikmati pelbagai juadah enak yang disajikan dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri ADUN Seberang Jaya.

“Justeru, diharapkan agar penganjuran rumah terbuka seperti ini dapat memupuk dan mengeratkan lagi ukhuwah antara agensi-agensi terlibat dengan masyarakat umum.

“Ikatan perpaduan yang kukuh ialah insurans untuk kemajuan sesebuah organisasi dan masyarakat, manakala interaksi silang budaya dalam majlis seperti ini amat besar ertinya terhadap kehidupan yang harmoni,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NUR AFIQAH ZAINUDI
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD