Kerajaan Negeri amat merasai kehilangan penjawat awam berpengalaman, berbakti serta gembleng tenaga demi Pulau Pinang – Kon Yeow

Admin

 

GEORGE TOWN – Seramai 76 pesara dan bakal pesara di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang diraikan dalam Majlis Jasamu Dikenang 2019 di sini, sebentar tadi.

Termasuk yang bakal menamatkan perkhidmatan ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus yang telah menerajui perkhidmatan awam negeri selama 26 tahun.

Chow Kon Yeow serta dif-dif kehormat bergambar kenang-kenangan bersama pesara dan bakal pesara yang diraikan pada Majlis Jasamu DiKenang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri amat merasai kehilangan penjawat awam berpengalaman yang banyak menyumbang khidmat bakti, menggembleng tenaga serta mengorbankan masa demi kesejahteraan rakyat dan negeri ini.

“Sebagai Ketua Menteri, saya juga turut merasa kehilangan setiap kali ada pegawai dipindahkan ke jabatan lain, dinaikkan pangkat atau bersara wajib kerana bukan senang mendapatkan sokongan pegawai-pegawai yang berdedikasi untuk bekerjasama dalam pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Walau bagaimanapun, inilah hakikat dalam pentadbiran awam dan sebagai Ketua Menteri serta pemimpin politik, kita perlu menyesuaikan diri dengan hakikat ini,” katanya semasa berucap pada majlis berkaitan.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; barisan Exco Kerajaan Negeri; Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Norazmi Mohd. Narawi; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Sarul Bahiyah Abu serta dif-dif kehormat yang lain.

Dato’ Seri Farizan Darus (kanan) bakal menamatkan perkhidmatan pada 7 November ini.

Kon Yeow juga berkata, nilai disiplin yang sentiasa menjadi asas dalam pentadbiran di bawah seliaan Farizan sedia ada telah menghasilkan kualiti serta produktiviti dan amat membantu merealisasikan misi dan visi Kerajaan Negeri.

“Sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan telah membawa pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang dikenali dan mengecapi kejayaan di pelbagai peringkat.

“Diakui tempoh 26 tahun di bawah pentadbiran Pulau Pinang bukan sesuatu yang mudah, tetapi Dato’ Seri Farizan telah berjaya melepasi perjalanan ini dengan begitu baik.

“Justeru, saya mewakili Kerajaan Negeri mengucapkan selamat bersara dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua atas jasa dan khidmat bakti selama ini.

“Sumbangan dan pengorbanan yang dicurahkan pasti akan terus dikenang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Farizan dalam ucapannya sebelum itu menasihati pesara agar terus menyumbangkan khidmat bakti kepada masyarakat sama ada melalui badan-badan bukan kerajaan (NGO) atau membantu komuniti setempat.

“Sebagai mereka yang berpengalaman tidak seharusnya bersara secara mutlak kerana pengalaman yang kita miliki, saya percaya adalah satu aset penting dan amat bernilai terutamanya pengalaman dalam menguruskan aset serta pengurusan kerajaan,” katanya.

Difahamkan, seramai 65 orang pesara dan bakal pesara yang diraikan hari ini adalah terdiri daripada mereka yang telah mencapai umur persaraan wajib, bersara secara pilihan (7) dan telah meninggal dunia (4).

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : LAW SUUN TING