Kerajaan Negeri anjur pelbagai program hibrid sempena Hari Wanita Sedunia 2021

Admin

GEORGE TOWN – Penganjuran pelbagai program sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang pada tahun ini bakal dianjurkan secara maya atau hibrid.

Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng memberitahu bahawa pihaknya telah mengadakan perancangan rapi bagi memastikan semua acara yang dianjurkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Tahun ini merupakan kali kesembilan penganjuran Sambutan Hari Wanita Sedunia peringkat negeri yang bertujuan meraikan pencapaian, pengorbanan dan sumbangan wanita kepada keluarga dan masyarakat.

“Pencapaian dan sumbangan wanita boleh dilihat daripada pelbagai aspek termasuk sosial, ekonomi, budaya dan politik.

Chong Eng.

“Justeru, Kerajaan Negeri amat berbangga kerana sambutan tahunan ini mendapat sokongan padu daripada rakyat di seluruh pelosok negeri ini,” ujarnya semasa mengumumkan Sambutan Hari Wanita Sedunia 2021 Peringkat Negeri Pulau Pinang semalam.

Chong Eng berkata, ‘Memilih Untuk Mencabar’ atau ‘Choose to Challenge’ telah dipilih sebagai tema bagi sambutan Hari Wanita Sedunia peringkat negeri pada tahun ini.

“Jika kita amati maksud tersirat di sebalik perkataan ‘mencabar’ adalah ia umpama mesej yang mampu menggegarkan dunia selain untuk mendorong golongan wanita ke arah perubahan.

“(Dengan) ‘Memilih Untuk Mencabar’, wanita mampu membuktikan perubahan dapat dibuat sama ada terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara mahupun dunia,” jelasnya lagi.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri sentiasa menitikberatkan nilai-nilai keterangkuman gender dalam penggubalan dasar dan amalan pentadbiran dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif yang menyumbang ke arah matlamat kesaksamaan gender.

‘Memilih Untuk Mencabar’ diangkat sebagai tema sambutan Hari Wanita Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang tahun ini.

“Pada tahun 2019, Dasar Keterangkuman Gender (DKG) telah diguna pakai bagi memastikan wujudnya keseimbangan gender 40:40:20 iaitu 40 peratus wanita, 40 peratus lelaki dan 20 peratus terbuka untuk wanita dan lelaki supaya tiada satu gender yang mendominasi pembuat keputusan.

“DKG bermatlamat supaya perspektif gender diambil kira dalam perancangan dan pelaksanaan dasar, bajet, dan program Kerajaan Negeri.

“Saya berbangga kerana bermula tahun 2019 Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) telah ditubuhkan di semua 40 kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN).

“(Dengan) kekuatan seramai 600 pemimpin komuniti wanita, JPWK berperanan untuk menganjur program-program pembangunan wanita dan keluarga untuk manfaat komuniti setempat,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, Chong Eng berharap dalam mencapai sasaran minimum 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan, Kerajaan Negeri dapat meluluskan cadangan melantik minimum 30 peratus wanita sebagai Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan ahli lembaga pengarah anak-anak syarikat Kerajaan Negeri (GLC).

“Bermula tahun ini, Kerajaan Negeri telah menetapkan lantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) mestilah terdiri daripada minimum 30 peratus atau lima orang wanita.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah melancarkan program-program khusus untuk pemerkasaan wanita seperti Sidang Wanita Pulau Pinang, Bengkel Pembangunan Kepimpinan Wanita, Wanita Jana Rezeki dan banyak lagi,” maklumnya.

Beliau berkata, dalam memastikan wanita tidak ketinggalan pada setiap peringkat pembuat keputusan, Kerajaan Negeri kini dalam proses meningkatkan perwakilan wanita di Dewan Undangan Negeri (DUN) melalui Top-Up Women-Only Additional Seats (TWOAS).

“Inisiatif-inisiatif ini adalah selaras dengan Visi Penang2030 selain komitmen Kerajaan Negeri untuk mengiktiraf wanita dan memperkasakan wanita demi mencapai kesaksamaan gender,” ulasnya lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng memberitahu bahawa pihaknya telah merancang pelbagai aktiviti yang melibatkan lebih ramai golongan wanita pada sambutan tahun ini.

“Antaranya, pertandingan video pendek #MemilihUntukMencabar yang dijalankan secara dalam talian melalui laman Facebook PWDC sebagai platform untuk golongan wanita berkongsi pengalaman berkaitan sumbangan, pengorbanan atau kejayaan mereka mengatasi cabaran.

“Sambutan yang diterima adalah sangat baik yang mana lebih 50 video perkongsian telah dimuat naik dan ini memberi gambaran bahawa wanita-wanita sentiasa berani untuk menyahut cabaran dan tampil ke hadapan.

“Pertandingan ini masih berjalan sehingga hujung minggu ini dan saya berharap agar para wanita dapat berkongsi kejayaan mereka mengharungi cabaran melalui pertandingan ini,” serunya.

Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari laman web rasmi PWDC di www.pwdc.org.my.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : PWDC