GEORGE TOWN – Kerja-kerja pengorekan jalan secara berulang oleh pelbagai pihak utiliti dikenal pasti antara punca kelemahan penyelarasan kerja penurapan jalan di sepanjang jajaran Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, kerja pengalihan utiliti termasuk penggalian awal (piloting) bagi mengesahkan kedudukan sebenar paip dan utiliti bawah tanah memerlukan laluan dibuka semula selepas kerja penurapan sementara dilaksanakan.
“Kerja-kerja berkenaan perlu dilakukan pada waktu malam dan laluan mesti dibuka semula selewat-lewatnya pukul 5 pagi bagi mengelakkan gangguan kepada trafik waktu puncak.
“Keadaan ini menyebabkan sebahagian permukaan jalan yang telah dipulihkan perlu dibuka semula bagi membolehkan kerja-kerja pengalihan dan penyelarasan utiliti lain dilaksanakan.
“Sehubungan itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengarahkan kontraktor pelaksana, SRS LRT, supaya memperkemas penyelarasan kerja pengorekan secara lebih bersepadu bersama pihak utiliti serta memastikan pemulihan jalan mengikut spesifikasi teknikal ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Yang Kelima Belas dekat sini pada 3 November 2026.
Mengulas lanjut, Zairil turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri melalui JKR telah mengarahkan SRS LRT meningkatkan kekerapan pemantauan harian di sepanjang jajaran projek serta memastikan sebarang kerosakan permukaan jalan dibaiki segera mengikut piawaian keselamatan JKR.
“Kontraktor utama turut menggerakkan pasukan pemantauan khas bagi menjalankan pemeriksaan berkala dan pemantauan berterusan di semua lokasi terlibat, termasuk kawasan yang menggunakan penurapan sementara.
“Setelah kerja-kerja piloting dan pengalihan utiliti selesai, kerja pengisaran dan penurapan kekal (milling and paving) akan dilaksanakan, diikuti pengecatan semula garisan jalan bagi memastikan turapan lebih sempurna dan tahan lama,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Zairil turut memaklumkan bahawa pihak MRT Mutiara Sdn. Bhd. bersama SRS LRT telah mengadakan pertemuan dengan wakil ADUN Pantai Jerejak pada 23 September 2026 bagi membincangkan aduan orang awam berhubung keadaan jalan raya di kawasan berkenaan.
Tambah Zairil, pihak pelaksana projek turut mengambil maklum keadaan permukaan Jalan Tun Dr. Awang yang terjejas susulan kerja-kerja awalan projek dan telah melaksanakan penurapan semula menggunakan kaedah mill and pave.
Walau bagaimanapun, menurut Zairil, terdapat juga kerosakan jalan yang dikenal pasti berpunca daripada kerja pihak ketiga di luar kawasan pembinaan LRT.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD