Kerajaan Negeri, ATM sedia kukuhkan kerjasama dua hala

GEORGE TOWN – Kewujudan kartel dan sindiket penyeludupan merupakan antara punca isu pendatang asing tanpa izin (PATI) berlanjutan walaupun pelbagai usaha sudah dilakukan untuk membendungnya.

 

Perkara itu dibangkitkan oleh Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Azhan Md. Othman pada pertemuan bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar pagi ini.

 

Azhan tiba di Pejabat Ketua Menteri bagi sesi kunjungan hormat pengenalan setelah mengambil alih tampuk pimpinan Divisyen Kedua Infantri Malaysia baru-baru ini.

 

AZHAN Md. Othman (duduk) menandatangani buku pelawat sambil diiringi Yaacob Md. Saad.

Hadir sama, Setiausaha Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Pulau Pinang, Leftenan Kolonel (K) Dato’ Yaacob Md. Saad.

 

Selain isu pendatang asing tanpa permit di negeri ini, turut dibincangkan adalah kawalan sempadan negeri-negeri; hubungan antarabangsa membabitkan negara-negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Singapura; kesesakan lalu lintas di beberapa lokaliti; peralihan monsun serta bantuan-bantuan kemanusiaan dari pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

PERBINCANGAN turut melibatkan isu-isu tempatan di negeri Pulau Pinang.

Malah, beliau juga mengalu-alukan kerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi menambah baik kemudahan di Markas Rejimen 509 Askar Wataniah dekat Lebuhraya Peel dan membuka peluang untuk penjawat awam menyertai Rejimen 509 sebagai anggota sukarela.

 

Mengambil kesempatan pertemuan itu, Azhan menzahirkan ucapan tahniah kepada Kon Yeow atas pelantikan sebagai Ketua Menteri untuk penggal kedua.

 

“Saya juga mendoakan agar Pulau Pinang sentiasa selamat, harmoni dan lebih makmur di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat,” katanya.

 

Sebelum ini, Azhan merupakan Asisten Ketua Staf Sumber Manusia, Markas Tentera Darat dan dilantik sebagai Panglima 2 Divisyen menggantikan Mejar Jeneral Datuk Muhammad Huzaimi Sabri yang dinaikkan pangkat ke Leftenan Jeneral serta dilantik sebagai Panglima Medan Barat yang baharu.

 

Terdahulu, Kon Yeow mengalu-alukan kehadiran Azhan dan Yaacob serta menzahirkan kesediaan untuk mengukuhkan kerjasama dua hala dengan pihak ATM melibatkan aktiviti kemasyarakatan dan juga keselamatan.

 

Mengakhiri pertemuan, kedua-dua pihak saling bertukar-tukar cenderamata dan mengambil peluang merakamkan gambar sebagai tanda kenang-kenangan.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR