NIBONG TEBAL – Kerajaan Negeri akan memperhalusi serta membincangkan mengenai garis panduan Bekerja Dari Rumah (BDR) yang bakal dilaksanakan kerajaan Persekutuan kini.
Ini termasuk garis panduan tambahan daripada Kerajaan Negeri yang akan dilaksanakan menerusi BDR terhadap bahagian tertentu dalam pentadbiran.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa satu garis panduan berhubung BDR sudah diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri di ibu pentadbiran negara semalam.
“Maka saya dengan Dato’ Seri (Setiausaha Kerajaan Negeri) berada dalam mesyuarat berkenaan, dan pada Rabu akan datang, kita (Mesyuarat Majlis Kerajaan,MMK) akan bincang ‘guideline’ berkenaan sebab sekarang sasaran (guideline) itu adalah agensi Persekutuan sahaja.
“Namun, kalau dipanjangkan kepada negeri, agensi lain-lain maka tertakluk kepada penerimaan ‘guideline’ itu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Ladang Solar Berskala Besar 5 (LSS5) di Tapak Projek LSS5, Ladang Byram dekat sini sebentar tadi.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Zulkifli Long; Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo; Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari; Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) merangkap Pengerusi Lembaga Solar Voltrch Sdn Bhd., Dato’ Aziz Bakar.
Kon Yeow, Kerajaan Negeri berkemungkinan akan mewujudkan panduan tambahan dalam pelaksanaan garis panduan BDR itu.
“Kita akan bincang, mungkin kita akan ada ‘guideline’ tambahan (garis panduan BDR).
“Mungkin skop ia membabitkan bahagian mana dan sebagainya,” jelasnya.
Dalam sidang media Rabu lalu, Kon Yeow menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak bercadang untuk melaksanakan dasar BDR buat masa ini selepas mengambil kira ketiadaan keperluan mendesak untuk berbuat demikian.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian semasa terhadap keperluan operasi pentadbiran Kerajaan Negeri serta tahap penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Oleh : AIZAT SHARIF
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN
Vdeo : NOOR SITI NABILAH NORAZIS