Kerajaan Negeri bakal tubuhkan Perbadanan Digital Pulau Pinang

BATU UBAN – Kerajaan Negeri bakal menubuhkan sebuah badan dikenali sebagai Perbadanan Digital Pulau Pinang atau Digital Penang Corporation (DPC) tidak lama lagi bagi memacu pembangunan inisiatif digital dan pintar di negeri ini.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, perincian mengenai peranan dan struktur perbadanan berkaitan bakal diumumkan kelak.

 

“Selaras dengan Visi Penang2030, segala inisiatif digital dan pintar akan diletakkan di bawah satu ‘payung’ kelak yang mana sekarang ini ia terbahagi mengikut portfolio.

 

“Di bawah perbadanan ini, segala usaha akan dikoordinasikan bagi memantapkan lagi pembangunan digital dan pintar di negeri ini,” katanya pada Majlis Pelancaran Projek Perintis Smart Bus Stop di Jalan Sungai Dua dekat sini, pagi ini.

 

JAGDEEP Singh Deo mendemonstrasikan penggunaan butang kecemasan pada Majlis Pelancaran Projek Perintis Smart Bus Stop di sini pagi ini.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Azhar Arshad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan; Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali; Ketua Pegawai Wilayah Syarikat e.co Group (M) Sdn. Bhd. (e.co), Wan Zainal Adileen Wan Puteh serta beberapa perwakilan dari Melaka dan e.co (disebut edotco).

 

Menurut Jagdeep, penubuhan Perbadanan Digital Pulau Pinang adalah wajar memandangkan Pulau Pinang kini mengorak langkah ke arah negeri pintar.

 

“Pulau Pinang akan terus menjadi teraju dan contoh dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif pintar.

 

“Malah, pelancaran projek perintis hari ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif ke arah menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri pintar bertaraf antarabangsa menjelang tahun 2030,” ujarnya.

 

Difahamkan, projek hentian bas pintar atau smart bus stop yang dibiayai oleh e.co di Jalan Sungai Dua ini adalah yang pertama seumpama di bahagian Pulau.

 

Sebelum ini, Kerajaan Negeri memperkenalkan hentian bas pintar pertama negara di Lengkok Tenggiri, Seberang Jaya (bahagian Seberang Perai) pada 13 Mei 2019.

 

Mengulas mengenai inisiatif pintar ini, Jagdeep berkata, pihaknya telah mengarahkan kedua-dua pihak berkuasa tempatan (MBPP dan Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP) untuk mengenal pasti hentian bas yang menjadi tumpuan dan strategik bagi mentransformasikannya kepada hentian bas pintar.

 

ANTARA ciri-ciri menarik hentian bas pintar di sini.

“Terdapat 1,729 hentian bas di negeri ini dan pihak berkuasa tempatan telah diarahkan mengenal pasti hentian bas strategik untuk dibangunkan sebagai smart bus stop,” ulasnya.

 

Dilengkapi dengan pelbagai elemen keselamatan dan kemudahan seperti kamera litar tertutup (CCTV) dengan ciri-ciri analitis dan ‘panic button‘ (butang kecemasan) yang disambungkan terus kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memantau pengguna perkhidmatan awam, hentian bas pintar ini juga menerapkan ciri-ciri hijau dengan menggunakan panel solar.

 

Selain itu, ia turut mempunyai papan iklan digital, pengecas telefon bimbit, papan pemakluman waktu ketibaan bas melalui ‘Bus Integrated System‘ atau BIS milik Rapid Penang dan WiFi.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : LAW SUUN TING