Kerajaan Negeri belanja lebih RM1 bilion demi kebajikan rakyat

Admin
img 20250522 wa0065

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membelanjakan lebih RM1 bilion sejak beberapa tahun lepas untuk melaksanakan pelbagai program kebajikan yang memberi manfaat kepada rakyat negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa perbelanjaan tersebut adalah melibatkan pelaksanaan pelbagai program dan insentif sejak tahun 2018 sehingga tahun ini.

“Jumlah perbelanjaan paling tinggi adalah melibatkan program i-Sejahtera yang memfokuskan kepada ibu tunggal, warga emas, orang kurang upaya (OKU), anak emas, suri emas dan sumbangan pengurusan jenazah yang menelan belanja sebanyak RM370.45 juta.

“Manakala perbelanjaan kedua tertinggi sepanjang tempoh tersebut adalah melibatkan pakej bantuan rakyat Pulau Pinang (Penang Lawan COVID-19) bernilai RM174.52 juta.

“Selain itu, terdapat juga insentif dan elaun berkaitan pengangkutan yang diperkenalkan sepanjang tempoh tersebut, antaranya insentif pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah (RM11.06 juta), BEST Bayan Lepas Free Industrial Zone (RM4.35 juta), BEST Komtar (RM5.91 juta), Pas Mutiara (RM21.5 juta), Bas Percuma CAT (RM49.16 juta) serta subsidi tiket bagi tambang feri sebanyak RM1.03 juta.

“Kerajaan Negeri juga memberi peruntukan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK), Sekolah Menengah Persendirian Cina dan Sekolah Mubaligh dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM69.09 juta sepanjang tempoh tersebut,” katanya dalam Sesi Ucapan Penggulungan Exco sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini sebentar tadi.

Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan bahawa berbelanjaan lain adalah termasuk Tabung Penyelenggaraan Maksima 80% Pulau Pinang (TPM80PP) berjumlah RM68.95 juta, projek pembangunan luar bandar (1,569 projek – RM50.98 juta) dan sumbangan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta lain-lain persatuan berjumlah RM47.05 juta.

“Turut dilaksanakan adalah Bantuan Agenda Ekonomi Saksama (AES) melibatkan perbelanjaan RM27.78 juta, peruntukan bagi Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) berjumlah RM26.25 juta, bayaran pinjaman penuntut negeri Pulau Pinang (RM24.06 juta) serta peruntukan kepada guru agama, elaun guru KAFA dan penyelenggaraan kecil sekolah (RM19.54 juta).

“Termasuk dalam perbelanjaan ini adalah Biasiswa Kecil Negeri Pulau Pinang (RM18.63 juta), bantuan pendaftaran pelajar keninstit pengajian tinggi (iBITA -RM17.76 juta), bantuan nelayan (RM7.24 juta), bantuan pembangunan pemerkasaan gerakan koperasi negeri Pulau Pinang (RM1.40 juta), insentif pelajar cemerlang (RM1.31 juta) dan elaun penarik beca (RM1.20 juta),” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF