Kerajaan Negeri belanja RM307.2 juta selenggara skim perumahan

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang sehingga kini telah membelanjakan kira-kira RM307.2 juta bagi tujuan penyelenggaraan skim-skim perumahan di seluruh negeri ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata jumlah itu adalah merangkumi 578 kerja penyelenggaraan melalui Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP).

Jagdeep Singh Deo bersama-sama R.S.N. Rayer memerhatikan salah seorang penduduk KADUN Datok Keramat melakukan saringan kesihatan secara percuma.

“Di Taman Free School sahaja, Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM18.5 juta membabitkan 613 kerja penyelenggaraan yang telah pun selesai sepenuhnya.

“Ini merupakan prestasi sangat baik yang kita perlu diteruskan pada masa-masa akan datang,” katanya pada sidang media sempena Program Saringan Kesihatan anjuran Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Datok Keramat dekat Taman Free School di sini semalam.

Difahamkan, seramai hampir 400 penduduk kurang berkemampuan dalam KADUN Datok Keramat menerima saringan kesihatan secara percuma melalui program tersebut.

Hadir sama, Ahli Parlimen Julutong, R.S.N. Rayer serta ahli-ahli jawatankuasa Pusat Khidmat KADUN Datok Keramat.

Pada masa sama, Jagdeep mengingatkan Kerajaan Persekutuan untuk meluluskan bagi daripada 198 projek penyelenggaraan yang dimohon oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang membabitkan kos RM134.76 juta.

“Sehingga hari ini Kerajaan Pusat cuma meluluskan sebanyak 41 projek daripada jumlah yang kita mohon dengan nilai RM8.4 juta.

“Jadi kita minta kepada menteri yang terlibat supaya meneliti perkara ini dan meluluskan permohonan Kerajaan Negeri Pulau Pinang secepat mungkin,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datok Keramat.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ALISSALA THIAN