Kerajaan Negeri benarkan makan dalam premis, semua kategori mulai esok

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang memberi kebenaran untuk makan di dalam premis atau dine-in bagi semua kategori premis makanan mulai esok (18 Mei).

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, lebih 8,000 premis makanan dibenarkan makan di dalam premis membabitkan 3,920 premis di bahagian pulau dan 5,762 premis di Seberang Perai.

“Dalam Fasa 1 mulai 15 Mei lalu, Kerajaan Negeri telah memberi kebenaran dine-in bagi tiga kategori premis makanan iaitu pasar raya, hotel dan francais membabitkan 720 premis di bahagian pulau dan 167 di Seberang Perai.

“Bagi Fasa 2 pula sebanyak 3,200 premis makanan di bahagian pulau dibenarkan dine-in manakala Seberang Perai pula (5,595) dengan syarat pematuhan tatacara operasi standard (SOP) yang tegas.

“Objektif (membenarkan dine-in bagi semua kategori premis makanan) adalah untuk merangsang ekonomi yang terjejas akibat pandemik COVID-19 di samping memastikan keselamatan dan kesihatan orang ramai terjamin,” katanya dalam sidang media secara langsung melalui Facebook pagi tadi.

Turut serta, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBPP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud.

Pada Khamis (14 Mei) lalu, Jagdeep dalam satu sidang media memaklumkan bahawa kebenaran makan di dalam premis perlu mematuhi 14 syarat yang ditetapkan.

Antara syarat yang ditetapkan adalah termasuklah mewajibkan pekerja memakai pelitup muka; pekerja warga asing diwajibkan membuat saringan COVID-19; jarak antara meja mestilah sejauh dua meter; merekodkan maklumat pelanggan seperti nama dan nombor telefon untuk tujuan pengesanan kontak; mengawal bilangan pelanggan dan had masa dan mengamalkan jarak sosial di dalam premis termasuk mewujudkan garisan (jarak sosial) satu meter pada lantai di hadapan kaunter bayaran.

Selain itu, syarat-syarat lain adalah penggunaan pensanitasi tangan, memastikan meja sentiasa dibersihkan dengan penyembur pembersih secara lebih kerap, menggalakkan pelanggan membuat transaksi tanpa tunai serta pekerja-pekerja yang bergejala seperti demam, batuk dan selesema tidak dibenarkan masuk ke premis.

Hidangan secara bufet juga tidak dibenarkan selain memastikan tiada peralatan kutleri seperti sudu, garpu atau pisau disediakan di tempat umum dan hanya boleh diberikan oleh pekerja sahaja.

Sementara itu, Jagdeep turut memberitahu bahawa kadar pematuhan di premis di bawah bidang kuasa MBPP adalah 99.6 peratus setelah pemeriksaan dilakukan ke atas 144,584 premis dan 99.31 peratus dari 180,513 premis di bawah bidang kuasa MBSP.

“Oleh itu, kita menyeru kepada penduduk dan pemilik premis makanan agar terus mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” tegasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI