Kerajaan Negeri berhasrat mohon peruntukan Pusat biayai dua komponen projek PTMP

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini menyatakan hasrat untuk mengemukakan permohonan peruntukan kira-kira RM20 bilion bagi membiayai dua komponen projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pada mesyuarat Exco minggu lalu, secara rasmi telah bersetuju untuk mengutus surat rasmi kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan bagi memohon peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Dua projek yang dipertimbangkan untuk permohonan peruntukan (Kerajaan) Persekutuan adalah Projek LRT (Transit Aliran Ringan) dan Projek Lebuh Raya Pan Island Link (PIL).

“Kita (Kerajaan Negeri) akan memohon peruntukan kira-kira RM20 bilion dan surat akan diutuskan dalam minggu ini,” ujarnya pada sidang media sejurus mengadakan pertemuan tertutup bersama-sama delegasi Ahli Parlimen Port Dickson merangkap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di pejabat beliau lewat petang tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, barisan Exco dan ex-officio Kerajaan Negeri serta Pengarah Projek SRS Consortium, Szeto Wai Loong.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa sekiranya permohonan pembiayaan itu diluluskan, maka Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan semula pelan pelaksanaan projek tambakan laut di bahagian selatan pulau Pulau Pinang (PSR).

“Kerajaan Negeri sebelum ini telah memohon peruntukan RM1 bilion daripada Pusat. Walau bagaimanapun, kita (Kerajaan Negeri) masih menunggu kelulusan permohonan tersebut.

“Sekiranya projek ini (komponen PTMP) dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan dan dijadikan projek Kerajaan Persekutuan, maka pertimbangan (bagi projek tambakan) akan dinilai semula termasuk saiz pulau dan skala pelaksanaannya,” jelasnya.

KETUA Menteri bersama-sama Anwar Ibrahim dan barisan jemputan yang hadir pada sesi perbentangan mengenai Projek Tambakan Laut di Selatan Pulau Pinang di Komtar.

Terdahulu, Anwar bersama-sama Ahli Parlimen Bayan Baru merangkap Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar serta diiringi oleh beberapa pimpinan parti peringkat negeri meluangkan masa kira-kira 60 minit dalam sesi perbentangan dan perbincangan khas berhubung Projek PSR, di Komtar.

Bercakap kepada media, Anwar memaklumkan bahawa beliau berpuas hati dengan perbentangan oleh SRS Consortium. Walau bagaimanapun, menurut beliau, beberapa perkara perlu diberi perhatian penuh.

“Pertamanya, (pelaksanaan projek) ini perlu melihat rasional untuk membangunkan tiga pulau di selatan pulau Pulau Pinang. (Saya faham) oleh kerana kos pengangkutan yang meningkat dan keterbatasan peruntukan kewangan Kerajaan Persekutuan menyebabkan Kerajaan Negeri (Pulau Pinang) memilih untuk tambakan.

“Tetapi, saya telah memberi pandangan tentang konsep pembangunan di kawasan tersebut sebagai alternatif agar golongan nelayan ini tidak terpinggir.

“(Dan) keduanya kesan terhadap ekologi dan saya memuji kesediaan pimpinan Kerajaan Negeri untuk terus berbincang (mengenai) projek infrastuktur ini,” katanya.

Apabila ditanya oleh pemberita mengenai perjalanan sesi perbentangan, Anwar memaklumkan bahawa segala perancangan masih di peringkat awal, namun soal kepentingan dan kebajikan nelayan yang terjejas perlu dijadikan keutamaan sebelum memulakan pelaksanaan projek tersebut.

“Tujuan saya meminta supaya mengadakan sesi perbentangan ini kerana timbul kerisauan dan mahu mendengar daripada kedua-dua pihak (Kerajaan Negeri dan nelayan terjejas) yang mana perlu ada situasi menang-menang.

“(Dan) dalam masa yang sama, aspek kebajikan nelayan itu perlu diberi perhatian kerana mereka (nelayan) ini sangat bersungguh-sungguh dengan kerjaya mereka…bukan semata-mata (berbincang) soal pampasan,” ulasnya.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : CHAN KOK KUAN