Kerajaan Negeri beri bantuan awal bot dan enjin jaga kebajikan nelayan

TELUK AIR TAWAR – Empat nelayan dari selatan Pulau Pinang, daerah Barat Daya menjadi individu terakhir daripada kumpulan pertama menerima bantuan bot dan enjin baharu yang disumbangkan Kerajaan Negeri melalui skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP).

 

Menurut Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, melalui SIMP, 20 orang nelayan selatan Pulau Pinang telah terpilih bagi menerima sumbangan tersebut.

 

“Program bantuan bot ini sepatutnya dilaksanakan selepas projek Penang South Island (PSI) mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan Pengurusan Alam Sekitar (EMP), namun keputusan Kerajaan Negeri memberi bantuan awal ini dirasakan lebih tepat.

 

“Penyampaian bot-bot ini kepada kumpulan pertama sebenarnya telah dijalankan sejak Ogos lalu dan saya difahamkan dengan saiz bot 27 kaki panjang, 7.4 kaki lebar, disertakan dengan enjin yang lebih besar (90 kuasa kuda, HP) dan berkualiti, nelayan mampu menikmati hasil tangkapan yang lebih lumayan dan pergi lebih jauh.

 

“Penyerahan awal ini juga adalah komitmen Kerajaan Negeri menjaga kebajikan nelayan apabila sebahagian daripada nelayan merayu bantuan dipercepatkan ekoran keadaan bot dan enjin semasa uzur dan tidak selamat untuk digunakan,” ujar beliau pada Majlis Penyerahan Bot dan Enjin Kepada Nelayan Selatan Pulau Pinang dekat Fibra Marine Manufacturing, Padang Benggali, Butterworth semalam.

Hadir sama, Ketua Seksyen (Pengangkutan) Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Dato’ Lim Hock Seng;  Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd., Datuk Seri Farizan Darus dan Timbalan Pengarah Perikanan (Pengurusan), Wan Muhammad Aznan Abdullah.

 

Mengulas lanjut, Ahmad Zakiyuddin berkata, melalui SIMP, 315 tekong bot dari Permatang Tepi Laut, Teluk Kumbar, Sungai Batu dan Gertak Sanggul layak menerima bantuan berkaitan.

“Pemberian kepada baki 295 tekong akan dijalankan selepas PSI mendapat kelulusan daripada agensi-agensi terlibat,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal.

 

Pada majlis ringkas itu, Mat Isa Mat Noor, Muhammad Long, Fajinah Jaafar, Kamruddin Kana Mohd. Shariff menerima  bot yang sedia untuk dibawa pulang.

 

 

Teks dan Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI