Kerajaan Negeri beri peluang kepada semua untuk terus bersama-sama dalam pembangunan Pulau Pinang – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menyeru para ibu bapa, badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama-sama kerajaan agar dapat bergerak secara aktif dan terancang bagi memberikan sumbangan bermakna ke arah kecemerlangan generasi muda.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, budaya cemerlang perlu dipupuk dan disemai agar dasar pendidikan negara terus relevan serta menjadi penyumbang kepada kecemerlangan pendidikan anak-anak muda.

Katanya, selain Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri, Kerajaan Negeri turut menyediakan insentif, bantuan serta pinjaman kepada pelajar-pelajar cemerlang hingga ke peringkat PhD.

“Ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri amat prihatin dan mengambil berat terhadap pendidikan khususnya memberikan peluang kepada semua untuk terus bersama-sama dalam pembangunan negeri Pulau Pinang.

“Diharap dengan bantuan seumpamanya ini akan membantu pelajar-pelajar meneruskan pengajian di peringkat tertinggi.

“Jangan kerana masalah kewangan, pelajar-pelajar ini tidak mempunyai peluang untuk mendapatkan hak mereka bagi menimba ilmu.

“Sememangnya banyak NGO selain pihak kerajaan yang sudi membantu golongan kurang kemampuan, justeru jangan jadikan ini sebagai penghalang kepada rakyat untuk mendapatkan pendidikan sebaik-baiknya,” ujar beliau pada Majlis Perasmian Ceramah Motivasi dan Penyampaian Sijil Pecutan Terakhir SPM di sini baru-baru ini.

Seramai 85 pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyertai kem tersebut yang dianjurkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Cawangan Tanjong.

Hadir sama, Ketua Bahagian PPBM Tanjong, Mohamad Kamal Fairos dan Presiden Liga Muslim, Datuk Haja Najmudin Abdul Kadir.

Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong berharap pembangunan ekonomi yang semakin maju dapat disokong oleh modal insan.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat bergantung kepada modal insan bagi mengisi pelbagai jawatan dalam industri kita, sama ada (industri) pembuatan mahu pun sektor perkhidmatan.

“Justeru, modal insan ini dapat kita latih dari peringkat sekolah hingga ke universiti dan secara tidak langsung pelajar-pelajar ini dapat membina jati diri, keyakinan serta mencapai prestasi yang lebih baik,” jelasnya.