Kerajaan Negeri cadang bina parit utama di Kampung Tok Panjang bagi kurangkan risiko banjir kilat

Admin

BUKIT TENGAH – Kerajaan Negeri telah mencadangkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang untuk membina sebuah parit utama di Kampung Tok Panjang bagi mengurangkan risiko banjir kilat di sini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa cadangan tersebut bagaimanapun tertakluk kepada persetujuan penduduk setempat memandangkan tanah di Kampung Tok Panjang adalah hak milik persendirian.

“Saya dimaklumkan bahawa kawasan ini adalah tanah milik persendirian dan tidak ada sebarang projek (tebatan banjir) dibangunkan di sini, malah sistem perparitan yang ada juga tidak sempurna.

Chow Kon Yeow di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) True Light.

“Tambahan pula, beberapa tahun lalu, ada projek perumahan yang dibangunkan di sini yang mana parasnya telah dinaikkan lebih tinggi daripada kawasan kampung dan menyebabkan air sukar untuk mengalir ke saliran utama.

“Justeru, JPS sudah membuat satu kajian khusus bagi penempatan di sini dan mencadangkan pembinaan satu parit utama untuk mengalirkan air tetapi kita perlu mendapatkan persetujuan tuan-tuan tanah kerana ini membabitkan tanah persendirian,” katanya ketika ditemui selepas melawat penempatan di Kampung Tok Panjang, di sini sebentar tadi.

Mengadakan lawatan ke Pasar Awam Perkampungan Juru.

Selepas itu, beliau turut menyempurnakan program tukar minyak hitam percuma bagi kenderaan motosikal setempat sebelum menyertai kenduri rakyat yang dijalankan secara gotong-royong oleh penduduk setempat.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri II yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Prof. Dr. P. Ramasamy; ADUN Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung; ADUN Bagan Jermal, Soon Lip Chee; ADUN Bagan Lalang, Chong Eng dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), P. David Marshel.

Terdahulu, Chow Kon Yeow meluangkan masa melawat pusat pemindahan banjir (PPS) di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) True Light yang menempatkan seramai 85 mangsa daripada 26 keluarga sekitar kawasan Bukit Tengah.

Lawatan ke Kampung Tok Panjang sebelum menyempurnakan program tukar minyak hitam percuma dan kenduri rakyat bersama penduduk setempat.

Mengulas mengenai perkara itu, beliau yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi kawasan Parlimen Batu Kawan memberitahu bahawa mereka yang berpindah ke PPS ekoran kejadian hujan lebat kira-kira dua jam sejak 4 petang semalam yang membawa kepada kejadian banjir kilat.

“Seperti selalu saya nyatakan projek-projek tebatan banjir dapat mengurangkan impak di beberapa kawasan di sini sebagaimana dinyatakan oleh YB Gooi Hsiao Leung.

“Sebenarnya, projek tebatan banjir Parit 5 telahpun siap semasa saya menjadi Exco Tebatan Banjir yang dapat mana ia dijangka dapat mengurangkan risiko banjir di Taman Sentul, Taman Sentul Jaya dan sebagainya.

“Setelah projek tebatan banjir siap, keadaan didapati bertambah baik sehinggalah semalam yang mana didapati intensiti hujan tinggi menyebabkan parit di belakang kawasan penempatan berkaitan tidak dapat mengalirkan air walaupun pam beroperasi sepanjang masa dan menyebabkan berlakunya banjir,” jelasnya.

Bercakap kepada pemberita selepas tamat lawatan.

Justeru kata Kon Yeow, Kerajaan Negeri juga telah mengarahkan JPS Negeri, MBSP dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) supaya memastikan pam-pam yang ada beroperasi dengan baik.

Ada kawasan mungkin berlakunya pam tidak beroperasi seperti Jalan Tembikai dan Taman Sri Rambai yang menjadi punca banjir kilat berlaku.

“Jadi, pemantauan terhadap keadaan pam-pam ini adalah amat penting memandangkan kebanyakan projek tebatan banjir adalah melibatkan pembinaan rumah pam kerana kebanyakan kawasan penempatan di sini adalah kawasan rendah,” ulasnya lanjut.

Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh kakitangan serta agensi kerajaan yang terlibat dalam menyediakan PPS di sini.

Bercakap dalam sidang media sama, Hsiao Leung memberitahu bahawa hujan sejak jam 4 hingga 6 petang semalam telah mengakibatkan banjir kilat di beberapa kawasan seperti Taman Mangga, Taman Sentul dan Taman Sentul Jaya, Kebun Nenas dan sebagainya.

Kemudiannya, sekitar jam 8.30 pagi Kon Yeow serta pasukan kempennya mengadakan jerayawara di Pasar Awam Perkampungan Juru bagi menemui golongan peniaga dan komuniti lokal di sini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB & SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS & ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : DARWINA MOHD. DAUD & SIEW CHIA EN