GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) giat mengoptimumkan penggunaan tanah untuk pertanian melalui beberapa perancangan projek strategik.
Menurut Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol kerjasama strategik ini melibatkan peruntukan RM5.35 juta, meningkat ketara berbanding RM1.35 juta pada tahun 2024.
“Antara projek-proejk tersebut adalah Program Solusi Penggalak Fotosintesis Untuk Pesawah Padi NegeriPulau Pinang; Bantuan Khas Break and Protect 2 (BP2) Kepada Penternak Ikan Sangkar; Program Pelepasan Benih Ikan/Udang Ke Perairan Darat dan Kerang Ke Perairan Laut dan Projek Pertanian Pintar Bagi Tanaman Padi.
“Tambahan daripada itu termasuklah Bantuan Kejenteraan Pertanian; Pemberian Insentif Mekanisasi dan Automasi serta Pemberian Insentif Bagi Projek Industri Asas Tani.
“Setakat ini, kesemua projek sedang giat dilaksanakan, dan Kerajaan Negeri akan meneruskan permohonan peruntukan di bawah program yang sama kepada KPKM bagi tahun 2026 agar pembangunan agroteknologi dapat diperluas ke lebih banyak kawasan di seluruh negeri,” ujarnya ketika menggulung perbahasan pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Kelima Belas di sini sebentar tadi.

Tambahnya, Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada pemodenan dan diversifikasi pertanian mampan, seiring Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) termasuk sasaran ‘Kelaparan Sifar’.
Justeru, Kerajaan Negeri juga dalam proses memeterai kerjasama strategik bersama Fujian Agriculture and Forestry University (FAFU), China bagi pembangunan teknologi padi ratun yang memungkinkan penuaian dua kali dengan hanya sekali tanaman.
“Kaedah ratun terbukti menjimatkan kos operasi, kerana pesawah tidak perlu menanam semula setiap musim, padi tumbuh semula daripada tunggul sedia ada. Ia membantu menjimatkan kos benih, upah menanam, tenaga kerja dan penyediaan tanah.
“Natijahnya, padi ratun berpotensi meningkatkan pendapatan pesawah kerana penuaian dapat dilakukan lebih daripada sekali tanpa peningkatan kos ketara.
“Kaedah ini menyokong pertanian lestari, mengoptimumkan penggunaan tanah, mengekalkan kesuburan tanah, mengurangkan hakisan serta meminimumkan penggunaan bahan kimia,” jelasnya merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak.
Satu lagi inisiatif teras 2026 adalah Projek Pertanian Menegak Dalam Bangunan (Indoor Vertical Farming).
“Dalam dekad pascadigital ini, teknologi pertanian menegak muncul sebagai orientasi moden untuk meningkatkan pengeluaran makanan di kawasan bandar yang kekurangan tanah.
“Melalui sistem penanaman berintensiti tinggi secara menegak dipacu automasi dan kawalan berpusat, ia sesuai di bangunan sedia ada seperti gudang, pejabat, rumah kedai mahupun kontena mudah alih.
“Kerajaan Negeri melihat teknologi ini sebagai pemangkin ekosistem pertanian urban, dan merakamkan penghargaan kepada Ibu Pejabat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) atas komitmen membantu Pulau Pinang menerapkan teknologi ini,” katanya lagi.