Kerajaan Negeri edar 50,000 kit ujian kendiri Fasa 2

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah mula mengedarkan 50,000 kit ujian kendiri (test kit) termasuk ke setiap Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli-ahli Parlimen dan juga pejabat-pejabat daerah di seluruh negeri ini.

 

 

Menurut beliau, edaran kepada pusat-pusat khidmat dan pejabat-pejabat berkaitan telah bermula pada 21 Februari lalu, justeru, adalah dipercayai petugas-petugas di Pusat Khidmat akan mengedarkannya kepada mereka yang memerlukan.

 

“Ini adalah kali kedua kita (Kerajaan Negeri) buat, kali pertama inisiatif tersebut dilaksanakan adalah pada bulan September tahun lepas (2021) yang mana 40,000 kit ujian kendiri telah diedarkan untuk keperluan rakyat Pulau Pinang.

 

 

“Kini, Kerajaan Negeri menambah 10,000 daripada jumlah sebelum ini dan adalah diharapkan ia dapat memanfaatkan semua yang memerlukan,” ujarnya sejurus Majlis Menandatangami Memorandum Persefahaman (MoU) antara Penang Convention & Exhibition Bureau (PCEB) bersama-sama Malaysian Aviation Group (MAG) di sini sebentar tadi.

 

Ketika diajukan soalan berhubung pembatalan acara-acara rasmi sebagaimana diumumkan negeri Perak semalam, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri akan terus memantau keperluannya jika perlu memandangkan setiap keputusan bakal memberikan impak pada aspek ekonomi.

 

“Ia secara tidak langsung boleh menjejaskan dan memberi kesan kepada pihak-pihak yang mengendali serta membekalkan barang-barangan.

 

“Seperti saya nyatakan sebelum ini, kita sentiasa mengambil pendekatan berhati-hati, ia lebih baik daripada membuat keputusan terburu-buru.

 

“Setakat ini, Kerajaan Negeri juga tiada acara besar-besaran, sekiranya ada acara, misalnya pada tengah hari ini, SOP (prosedur operasi standard) diikuti dan adakalanya keperluan melakukan ujian kendiri diperlukan sebelum menghadiri acara sedemikian,” ujarnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

 

Dalam pada itu, Kon Yeow turut memberitahu bahawa beliau sedang menunggu arahan melalui Setiausaha Kerajaan Negeri berhubung kadar jangkitan dalam kalangan penjawat awam yang kini turut menunjukkan peningkatan.

 

“Kita menunggu arahan terkini berhubung waktu operasi perkhidmatan awam di negeri Pulau Pinang memandangkan banyak agensi serta jabatan terkesan apabila penjawat-penjawat awam didapati positif ataupun menjadi kontak rapat kepada kes-kes positif.

 

“Ini pada keseluruhannya membawa impak kepada mutu perkhidmatan, dan kita menunggu arahan seterusnya berhubung perkara ini sama ada waktu operasi kakitangan dibenarkan, bilangan kaunter boleh beroperasi dan lain-lain arahan yang akan diperoleh kelak,’’ ulasnya yang juga ADUN Padang Kota.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS

Video : AHMAD ADIL MUHAMAD