Kerajaan Negeri fokus rapatkan jurang pembangunan antara pulau dan Seberang Perai

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus memberikan tumpuan terhadap merapatkan jurang di antara bahagian pulau dan Seberang Perai bagi mencapai pembangunan yang lestari.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa bagi tujuan itu, Kerajaan Negeri telah merangka beberapa kaedah khususnya melalui pewartaan Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 (RSNPP 2030) pada 24 Oktober 2019.

“RSNPP 2030 ini diterjemahkan oleh Rancangan Tempatan (RT) dan Rancangan Kawasan Khas (RKK) di bawah peruntukan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) dalam bentuk peta cadangan guna tanah serta pelan-pelan tindakan terperinci.

“Tatacara proses penyediaan RT dan RKK telah mengambil kira semua input yang melibatkan data penduduk terkini, keadaan fizikal dan aktiviti semasa guna tanah serta diunjurkan mengikut trend pembangunan semasa sehingga tahun 2030,” katanya semasa sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-14 dekat Bangunan Dewan Undangan Negeri di sini sebentar tadi.

Tambah Kon Yeow, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) turut merangka beberapa inisiatif bagi melaksanakan lebih banyak pembangunan di kawasan Seberang Perai.

“Antaranya, melalui penyediaan Pelan Strategik PDC yang memfokus pertumbuhan kawasan pembangunan baharu berorientasikan ‘Bandar Hijau dan Pintar’ dan peningkatan nilai aset serta penggerak bagi inisiatif Kerajaan Negeri yang seimbang.

“Selain itu, Pelan Induk Pembangunan Bandar Cassia yang melibatkan kombinasi pembangunan bercampur dan bersepadu merangkumi perumahan, komersial, pendidikan, perubatan dan perindustrian.

“Malah, Kerajaan Negeri juga sedang membangunkan kawasan Batu Kawan yang merupakan salah satu kawasan katalis pertumbuhan pesat di Seberang Perai dan sememangnya banyak industri tertumpu di kawasan ini,” ulasnya.

Beliau berkata, walaupun Seberang Perai membangun dengan pesat namun masih terdapat beberapa masalah yang membelunggu penduduk seperti kesesakan lalu lintas, pengurusan sisa, pencemaran sungai dan masalah bekalan air.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua agensi yang terlibat agar membuat perancangan yang rapi bagi memastikan penyediaan infrastruktur mampu mengejar proses pembangunan yang pesat terutamanya di Seberang Perai.

“Namun begitu, usaha menambah baik kemudahan dan fasiliti ini memerlukan peruntukan yang banyak kerana terdapat banyak projek infrastruktur adalah di luar kemampuan Kerajaan Negeri.

“Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri akan terus berusaha dengan lebih gigih untuk memastikan Seberang Perai menjadi pemangkin pertumbuhan untuk masa depan,” tegasnya.

Tambah Kon Yeow, walaupun menghadapi kekangan dari segi peruntukan, namun Kerajaan Negeri masih berusaha untuk menangani isu-isu yang dihadapi di Seberang Perai khususnya melibatkan masalah kesesakan lalu lintas.

“Usaha yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk menangani isu kesesakan lalu lintas di Seberang Perai adalah dengan menyediakan perkhidmatan pengangkutan bas awam dan menaik taraf infastruktur jalan.

“Antara projek atau perkhidmatan yang sedang dilaksanakan termasuk (perkhidmatan) bas henti-henti dan perkhidmatan Bridge Express Shuttle Transit (BEST) Komtar di Kepala Batas, Seberang Jaya dan Jawi.

“Selain itu, perkhidmatan bas percuma Congestion Alleviation Transport (CAT) Bridge juga disediakan dari Bayan Baru ke Seberang Jaya selain perkhidmatan feri bot laju untuk penumpang.

“Projek pembinaan Jambatan Valdor yang menghubungkan Jalan Persekutuan 1 dengan Batu Kawan oleh pihak PDC juga dilaksanakan di samping projek pelebaran Jambatan Batu Kawan.

“Serentak itu, Kerajaan Ngeri juga melaksanakan projek mennaik taraf jalan dari persimpangan Jalan Bukit Tengah dengan Jalan Bukit Minyak 2 hingga persimpangan Jalan Bukit Minyak dengan Jalan Kota Permai,” ulasnya lanjut.

Terdahulu, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri juga sedang berusaha untuk merapatkan jurang sosioekonomi di antara kawasan bandar dan luar bandar sebagaimana yang digariskan dalam Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

“Kerajaan Negeri memberikan penekanan kepada penyediaan infrastruktur asas, liputan bekalan elektrik dan air serta struktur komunikasi termasuk di kawasan luar bandar.

“Malah, Kerajaan Negeri juga sentiasa menambah baik dan menaik taraf kemudahan infrastruktur serta jalinan jalan raya bagi membawa perkhidmatan ini ke kawasan yang memerlukan,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSUAD OMAR & AHMAD ADIL MUHAMAD