Kerajaan Negeri giat tingkatkan kesedaran untuk dos penggalak – Exco

BUKIT TENGAH – Kerajaan Negeri giat berusaha untuk meningkatkan kesedaran berhubung pemberian dos penggalak di negeri itu termasuk mewujudkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi dos berkaitan.

 

 

Menurut Exco Agroteknologi & Keselamatan makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin, usaha tersebut demi memberi kemudahan kepada rakyat mendapatkan pelalian berkenaan.

 

 

“Sehingga kini, dianggarkan kita mempunyai 74 klinik swasta dan lapan hospital swasta terbabit bagi pemberian vaksin dos penggalak.

 

 

“Bahagian pulau ada tambahan PPV dos penggalak di Sunshine Square yang mampu memberi suntikan pelalian dengan kapasiti 1,500 dos sehari,” ujar beliau selepas tamat Majlis Penyerahan Cek Tabung Bantuan Pelajar COVID-19 di Icon City, Bukit Mertajam, di sini, semalam.

 

 

Tegasnya, pemberian dos penggalak amat perlu bagi memberi perlindungan tambahan berikutan penularan varian delta yang membimbangkan.

 

 

“Varian delta lebih cepat merebak dan disebabkan ada vaksin, maka tahap jangkitannya rendah dan terkawal. Oleh sebab itu, kita menyeru untuk ambil dos penggalak,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti.

 

 

Mengulas lanjut melalui maklumat diterima, Norlela memberitahu, terdapat kes yang mana terdapat individu yang tidak hadir ke temu janji pemberian dos penggalak tanpa alasan yang munasabah.

 

 

Pada majlis berkaitan, seramai 111 pelajar yang kematian ibu atau bapa akibat COVID-19 menerima sumbangan berjumlah RM1,000 seorang dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM111,000.

 

 

Dana itu dikumpulkan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), Lions Club of Bayan Baru yang diterajui Presidennya, Leena Lee Soch Khim.

 

 

Norlela berharap lebih banyak pihak tampil menyalurkan bantuan bagi membantu pelajar yang kematian ibu atau bapa akibat COVID-19.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : EXCO