Kerajaan Negeri hargai jasa NGO bantu golongan memerlukan selaras visi Penang2030

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri sentiasa menghargai peranan dan jasa yang disumbangkan badan-badan bukan kerajaan (NGO) di Pulau Pinang yang sentiasa tampil menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan di negeri ini.

 

Perkara itu dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Bantuan Ramadan di Dewan Bangunan Persatuan Muslim Bersatu (UMA) dekat Jalan Transfer di sini tadi.

 

Menurut Kon Yeow, usaha murni yang dilakukan oleh NGO berkaitan bukan sahaja memberi kegembiraan kepada penerima, malah juga memudahkan urusan Kerajaan Negeri dalam pengagihan bantuan.

 

“Sejak mengambil alih tampuk pentadbiran pada 2008, Kerajaan Negeri amat komited untuk memberikan bantuan tanpa diskriminasi kepada semua rakyat tanpa mengira agama dan kaum.

 

“Rekod baik yang dipegang selama 11 tahun ini akan diteruskan agar segala hasil yang diperoleh dapat dipulangkan serta dikongsi bersama-sama rakyat.

 

“Usaha ini selaras dengan visi Penang2030 yang turut menitikberatkan penglibatan masyarakat yang menjadi antara penggerak utama transformasi negeri ke suatu tahap yang lebih maju,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota itu.

 

SEBAHAGIAN ahli jawatankuasa pengelola majlis merakam kenangan bersama-sama Ketua Menteri dan dif kehormat lain.

Jelas beliau, pemerkasaan rakyat melalui pelbagai program dan dasar yang direncanakan mampu membawa golongan sasar tersebut keluar dari kepompong sedia ada sekaligus mengurangkan ketidaksamaan yang wujud.

 

Selain meneruskan program bantuan sedia ada, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri turut menawarkan pelbagai bidang baru untuk diterokai dalam melahirkan rakyat yang serba boleh.

 

“Misalnya dalam industri kecil dan sederhana (IKS) yang dilihat mampu menstabilkan ekonomi negeri ini.

 

“Justeru, rebutlah peluang sedia ada demi kelangsungan hidup lebih baik,” serunya yang berharap rakyat dapat bersama-sama Kerajaan Negeri bergerak seiring ke arah merealisasikan visi Penang2030.

 

Turut berucap, Pengerusi Persatuan Kemajuan Wanita (Perjuanita) UMA Pulau Pinang, Patimah Kader yang berikrar akan memberikan sokongan penuh terhadap Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Kon Yeow.

 

HADIRIN berpusu-pusu mendapatkan juadah istimewa berbuka puasa iaitu nasi minyak, daging masak hitam dan ayam masak merah.

Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Presiden Al Ehsan Islamiah Malaysia, Datuk Seri Muhammad Ridzwan Sulaiman; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Barkath Sdn. Bhd., Datuk Seri Barkath Ali; wakil Pelita Group Sdn. Bhd., Datuk Uswath Khan serta beberapa dif jemputan lain.

 

Difahamkan, seramai 100 penerima bantuan terdiri daripada orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan asnaf menerima sumbangan wang tunai dan hamper keperluan harian daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP).

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI