Kerajaan Negeri kenal pasti beberapa pusat vaksinasi COVID-19

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui pejabat daerah masing-masing telah mengenal pasti beberapa pusat vaksinasi COVID-19 sempena Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dijadualkan bermula akhir Februari 2021.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa senarai pusat-pusat tersebut telah diserahkan oleh pejabat daerah kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) untuk pertimbangan lanjut.

Chow Kon Yeow ketika tampil dalam program ‘Consider This’ yang diacarakan oleh Melisa Idris dan Sharaad Kuttan di saluran Astro Awani.

“Kerajaan Negeri telah dimaklumkan bahawa JKNPP dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah ditugaskan untuk menyelaraskan hal-hal berkaitan Program Imunisasi Kebangsaan bersama-sama dengan pihak Jabatan Kesihatan.

“Peranan Kerajaan Negeri pula adalah untuk memudahcarakan pelaksanaan program ini dengan menyediakan fasiliti seperti dewan serta beberapa kemudahan lain,” katanya dalam temubual khas rancangan ‘Consider This’ oleh Astro Awani di sini baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan JKNPP sehingga kini masih belum menerima penjelasan terperinci mengenai program vaksinasi yang bakal dilaksanakan kerajaan.

Chow Kon Yeow.

“Perincian seperti keperluan logistik dan bagaimana program ini hendak dilaksanakan masih belum dimaklumkan menteri dilantik sebagai Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ini.

“Selain itu, kebimbangan lain adalah apakah Kerajaan Persekutuan mampu mencapai pembentukan imuniti kelompok sebagaimana yang disasarkan dengan memvaksin sehingga 70 peratus populasi di negeri ini.

“Sekarang ini, kami masih belum yakin sepenuhnya bahawa semua rakyat di negeri ini sedia menerima suntikan vaksin kerana ada sesetengahnya memilih untuk tidak mahu divaksin.

“Justeru, keadaan ini memerlukan pelaksanaan kempen penerangan secara besar-besaran oleh pihak kerajaan,” cadangnya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow turut berpendapat bahawa vaksin merupakan penyelesaian untuk membolehkan orang ramai kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

“Namun, kita perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sementara menunggu program vaksinasi selesai kerana perjuangan menentang COVID-19 masih belum berakhir,” tegasnya.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut berkongsi bahawa beliau ada mencadangkan supaya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merangka strategi menyeluruh untuk menghadapi cabaran dek penularan pandemik COVID-19 pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN): Pengurusan COVID-19 baru-baru ini.

“Adalah sukar untuk kita mencapai keseimbangan antara ekonomi dan kehidupan rakyat. Oleh itu, pembukaan sektor sosio-ekonomi haruslah disertakan dengan pematuhan SOP yang ketat,” katanya.

Tambah Kon Yeow, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah berusaha sebaik mungkin untuk memastikan sistem penjagaan kesihatan awam di negeri ini tidak terbeban disebabkan lonjakan kes COVID-19.

“Kita telah berusaha untuk membuka beberapa Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Berisiko Rendah di negeri ini, dan terbaru kita baru sahaja mendapat kelulusan peruntukan untuk PKRC yang mampu menampung 1,000 katil di Seberang Perai Selatan,” katanya.

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melancarkan kempen terbaru untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat untuk sentiasa mematuhi SOP.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow turut memaklumkan bahawa Pulau Pinang telah mencapai kadar 51 peratus pekerja asing berdaftar untuk ujian saringan COVID-19 dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Melalui ujian saringan ini, kita dapat mengenal pasti kes-kes positif COVID-19 dan seterusnya mengambil langkah susulan yang diperlukan,” ulasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD