Kerajaan Negeri kenal pasti pelabur berpotensi untuk industri sukan eSports negeri – Exco

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) sedang giat mengenal pasti pelabur-pelabur yang berpotensi dalam industri eSports terutamanya dalam pembangunan struktur sukan elektronik berkaitan.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata, dengan mengambil kira eSports yang merupakan terminologi baharu, maka pihak Kerajaan Negeri tiada halangan untuk mempertimbangkan pengeluaran lesen berlandaskan undang-undang sedia ada.

“Pusat eSports masih belum ditetapkan lagi dan lazimnya ia lebih tertumpu kepada kafe internet atau kafe cyber.

“Kita (Kerajaan Negeri) tiada halangan untuk mempertimbangkan pengeluaran lesen, namun begitu langkah-langkah pencegahan penyalahgunaan lesen tersebut perlu diperkemaskan dari semasa ke semasa,” ujarnya pada sesi penggulungan Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di sini malam ini.

Sejajar dengan perkembangan sukan elektronik berkaitan yang semakin popular dalam kalangan anak-anak muda, Lip Chee memberitahu bahawa pemilihan pertama untuk memilih atlet eSports telah dibuat.

“Program persediaan eSports negeri Pulau Pinang untuk ke Sukan Malaysia (SUKMA) Johor 2020 telah dirancang dan dianjurkan oleh PYDC dan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP).

“Pemilihan pertama untuk acara Pro Evolution Soccer (PES) dan Mobile Legend telah dianjurkan September lalu, manakala acara Defense Of The Ancients (DOTA) 2 akan berlangsung Disember ini.

“Selepas program tersebut, MSNPP akan mengemaskini senarai atlet terpilih yang akan membentuk skuad Pulau Pinang di SUKMA Johor 2020,” ujarnya sambil memaklumkan bahawa elaun atlet eSports negeri akan mula dibayar selepas pemilihan dan insentif kecemerlangan juga akan dianugerahkan sama seperti sukan lain di bawah program Skim Insentif Kecemerlangan Sukan (SKIMAS) Negeri Pulau Pinang.

Difahamkan, eSport julung kali dipertandingkan pada SUKMA dan antara kejohanan yang akan berlangsung membabitkan PES, Mobile Legend dan DOTA 2.

Menurut Lip Chee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, setakat ini 14 program eSport telah dianjurkan membabitkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM230,637.

“Program-program ini telah dijalankan oleh PYDC, MSNPP, Persatuan eSports Pulau Pinang dan beberapa pihak swasta,” ujarnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI