Kerajaan Negeri komited bantu usahawan kembangkan perniagaan melalui Skim Pinjaman Harapan – Exco

SUNGAI BAKAP – Kerajaan Negeri dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah memperuntukkan RM11 juta bagi melaksanakan program Skim Pinjaman Harapan (SPH) sejak 2010 sehingga kini.

 

Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain berkata, sehingga September lalu, sebanyak RM18.05 juta daripada peruntukan termasuk dana terkumpul (RM7.05) telah diagihkan kepada 3,3389 peminjam di semua daerah di negeri ini.

 

Menurutnya, bagi tahun 2019, SPH telah mengeluarkan pinjaman berjumlah  RM1.88 juta dengan sasaran pengeluaran pinjaman adalah sebanyak RM3 juta pada tahun ini.

Abdul Halim memerhatikan beberapa produk yang dijual di kedai barangan am milik salah seorang peminjam SPH sempena program Jelajah Usahawan SPH peringkat Daerah SPS, baru-baru ini.

 

”Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha bagi mempertingkatkan pemberian pinjaman mikro kredit ini kepada golongan peniaga kecil yang memerlukan bantuan bagi memajukan dan mengembangkan perniagaan.

 

”Oleh itu, Kerajaan Negeri bersedia menambah dana bagi memperluaskan lagi program ini pada masa-masa akan datang,” katanya pada berucap pada majlis penutup program Jelajan Usahawan SPH bagi Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dekat Pak Ali Food Industries Sdn. Bhd. di sini pada 22 Oktober lalu.

 

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Dr. Amar Pritpal Abdullah; ADUN Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim; Pengurus Bahagian Usahawan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Ku Zaleha Ku Iskandar serta wakil dari Politeknik Seberang Perai dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) Seberang Perai.

 

Program tersebut yang dianjurkan buat kali kedua tersebut merupakan anjuran bersama antara Pejabat Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, PDC serta Pak Ali Food Industries Sdn. Bhd.

 

Mengulas lanjut, Abdul Halim menyeru kepada usahawan-usahawan di negeri ini supaya memanfaatkan pinjaman SPH bagi menambah pendapatan dan menaik taraf perniagaan serta meningkatkan kesejahteraan hidup.

Pimpinan Kerajaan Negeri dan barisan wakil-wakil penganjur bergambar kenang-kenangan selepas tamat program Jelajah Usahawan SPH dekat Pak Ali Food Industries Sdn. Bhd., baru-baru ini.

”Justeru, marilah kita bersama-sama memberikan komitmen dan menanam tekad untuk terus berjaya dan mengecapi pembangunan negeri secara bersama,” ujarnya lagi.

 

Terdahulu, program Jelajah SPH bagi Daerah SPS dimulakan dengan lawatan premis permiagaan CK Tim Market milik Cheong Guey Fang dan suami Tim Chit Kuang yang menjalankan perniagaan am dekat taman Bukit panchor.

 

Jelajah kemudiannya diteruskan ke kedai gunting rambut milik K. Magendran yang terletak di Taman Jawi Jaya sebelum mengakhiri lawatan ke Komdas Halal Mart dekat Gerai Wakaf Jawi.

 

Dalam pada itu, Buletin Mutiara turut berkesempatan menemubual usahawan-usahawan terlibat untuk melihat sejauh mana SPH membantu mereka dalam membangun dan mengembangkan perniagaan.

 

Tim Chit Kuang.

Bagi TIM CHIT KUANG, pinjaman yang diperoleh melalui SPH membantu beliau dalam mengembangkan lagi perniagaan barangan am yang diusahakan sejak tiga tahun lalu.

 

”Kali pertama saya memperoleh SPH adalah sebanyak RM5,000 dan kali kedua pula berjumlah RM10,000 yang mana pinjaman ini sangat membantu dalam membuat pusingan modal untuk membeli barang-barang jualan.

 

”Apa yang lebih penting adalah pinjaman melalui SPH lebih senang diluluskan berbanding bank-bank konvensional,” ujarnya ketika ditemui.

 

  1. K. Magendran.

    K. MAGENDRAN pula berkata, pinjaman yang beliau peroleh pada kali pertama berjumlah RM3,000 digunakan untuk membeli barangan kelengkapan bagi perniagaan gunting rambut yang dijalankan selama sejak enam tahun lalu.

 

”Saya buat sekali lagi pinjaman berjumlah RM6,000 juga untuk membeli kelengkapan dan promosi dan terbaru saya dapat lagi RM12,000,” ujarnya yang pernah mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) di atas penganjura program menggunting rambut selama 72 jam tanpa henti.

 

Nor fareza Ismail.

Seorang lagi penerima, NOOR FAREZA ISMAIL, berkata bahawa beliau telah mendapat pinjaman SPH sebanyak dua kali berjumlah RM5,000 dan RM10,000 untuk membina kedai runcit yang diusahakan ketika ini.

 

”Bagi saya pinjaman SPH sangat membantu dan amat diperlukan oleh golongan peniaga yang mahu mengembangkan lagi perniagaan seperti kami.

 

”Oleh itu, saya harap SPH dapat diteruskan pada masa-masa akan datang selain promosi mengenai skim ini dapat diperluaskan,” ujarnya.