Kerajaan Negeri komited memberi infrastruktur pendidikan terbaik, 12 SMJK terima peruntukan kewangan RM1.425 juta

Admin
12所华中的代表接领制度化拨款后,出席者大合照。

GEORGE TOWN – Sebanyak 12 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) di negeri ini menerima peruntukan kewangan berjumlah RM1,425,000 daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Majlis penyampaian peruntukan yang melibatkan sekolah bantuan kerajaan itu disempurnakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Menurutnya, pengagihan peruntukan kewangan itu adalah mengikut keperluan dan permohonan oleh pihak sekolah.

“Meskipun, jumlah peruntukan ini tidak berupaya menampung segala keperluan sekolah, tetapi saya berharap agar ia dapat mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung oleh pihak sekolah dalam memastikan keselesaan serta keselamatan pelajar,” ucapnya pada Majlis Simbolik Penyerahan Replika Cek Kepada Sekolah-Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Bagi Tahun 2019 dekat Auditorium A, Komtar tadi.

Hadir sama, barisan Exco Kerajaan Negeri; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Pengerusi Lembaga Pengarah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkaitan.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Hal Ehwal Sekolah Cina dan Mubaligh, Chong Eng  menyatakan bahawa pihaknya menerima permohonan sehingga mencecah RM37 juta bagi melaksanakan 315 skop kerja.

“Namun, Kerajaan Negeri hanya dapat memberi antara tiga hingga empat peratus sahaja daripada jumlah permohonan yang dipohon, dan kita (Kerajaan Negeri) amat komited dalam memberikan infrastruktur pendidikan terbaik.

“Pihak sekolah juga tidak seharusnya menganggap bahawa pemberian peruntukan kewangan ini sebagai sumber utama kewangan, sebaliknya ia hanya sebagai tambahan kepada peruntukan kewangan yang diberikan oleh pihak Kementerian (Pendidikan Malaysia).

“Walau bagaimanapun, saya berharap, pihak sekolah dapat menggunakan peruntukan ini dengan sebaiknya bagi memastikan kualiti pendidikan sentiasa diperkasakan,” ujarnya yang turut berucap pada majlis berkaitan.

Daripada jumlah itu, difahamkan bahawa peruntukan sebanyak RM180,000 atau 12.6 peratus adalah untuk membina bangunan baru sekolah, manakala RM94,000 (6.6 peratus) untuk membaiki kerosakan struktur sekolah seperti bumbung, siling dan tangki air.

Selain itu, sejumlah RM162,000 (11.4 peratus) pula adalah untuk pendawaian semula serta baki RM430,000 (30.2 peratus) untuk menaik taraf perparitan dan RM559,000 (39.2 peratus) untuk menaik taraf tapak sukan, bilik darjah dan kantin.

Sebagai rekod, sehingga kini Kerajaan Negeri telah menyalurkan sejumlah RM12,610,500 kepada SMJK seluruh negeri.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS