Kerajaan Negeri komited pastikan kesalinghubungan seluruh negeri

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang bekerja rapat dengan semua pemegang taruh di negeri ini untuk mengenal pasti kawasan-kawasan yang mempunyai kurang liputan rangkaian telekomunikasi.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan kesalinghubungan di seluruh negeri ini.

“Kerajaan Negeri amat komited untuk memastikan kesalinghubungan di seluruh negeri supaya kita boleh mengoptimumkan jaringan telekomunikasi.

“Oleh itu, kita bersama dengan pemegang taruh seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pihak berkuasa tempatan (PBT), penguasa jalan dan lain-lain akan terus memantau kawasan-kawasan yang mempunyai masalah liputan.

“Malah, pada Julai lalu pihak MCMC telah melancarkan aplikasi ‘JENDELA Map’ yang mana dengan aplikasi ini orang ramai dapat mengenal pasti ketersediaan perkhidmatan komunikasi di lokasi-lokasi berkaitan.

“Jika terdapat sebarang masalah berkaitan telekomunikasi, boleh memaklumkannya kepada MCMC untuk dipanjangkan kepada syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan langkah-langkah akan diambil untuk meningkatkan infrastruktur,” katanya pada sesi soalan lisan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-14, di sini sebentar tadi.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang.

Pada masa sama kata Zairil, Kerajaan Negeri juga telah meminta pihak MCMC untuk membuat penilaian semula senarai kawasan yang mempunyai kurang liputan di negeri ini yang tidak dikemas kini sejak 10 tahun lalu.

“Berdasarkan kemas kini oleh pihak MCMC mendapati bahawa kawasan yang mempunyai kurang liputan telah bertambah dan syarikat penyedia telekomunikasi sudah pun masuk ke lokasi-lokasi berkaitan.

“(Dan) kawasan Seberang Jaya, Penanti dan Barat Daya antara lokasi pertama yang akan dipasang dengan jaringan telekomunikasi,” jelasnya yang juga ADUN Tanjong Bunga bagi menjawab soalan tambahan daripada ADUN Sungai Dua, Datuk Muhamad Yusoff Mohd. Noor.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa jumlah keseluruhan kawasan yang mempunyai kemudahan Unifi di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Itam adalah sebanyak 114 kawasan yang melibatkan 13,500 ports.

Tambahnya lagi, sebahagian besar lokasi di KADUN Air Itam telah mempunyai infrastruktur unifi Fiber-To-The-Home (FTTH).

“Jumlah kapasiti yang telah dipasang adalah melebihi 13,500 ports dengan peratusan langganan adalah sebanyak 57 peratus.

“Walau bagaimanapun terdapat enam kawasan yang masih dalam pelaksanaan FTTH dan dijangka siap pada hujung tahun 2021 hingga suku tahun kedua 2022,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN