Kerajaan Negeri komited pastikan projek Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua berjalan lancar

Admin
img 20260907 wa0067

SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited membantu dan memudah cara pelaksanaan Projek Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua bagi memastikan projek strategik berkenaan berjalan lancar serta dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, Pakej 1 projek penyuraian trafik dari Tol Juru ke Tol Sungai Dua kini mencatat kemajuan 40.79 peratus, dengan kerja-kerja pembinaan giat dilaksanakan di tapak.

Menurut beliau, Pakej 1 dijangka siap pada Oktober 2027, manakala Pakej 2 hingga Pakej 5 kini dalam proses penilaian dan panggilan tender.

“Dijangka proses tender bagi Pakej 2, 3, 4 dan 5 dapat disempurnakan pada hujung tahun 2026 dan kerja-kerja boleh dimulakan pada awal tahun depan.

“Pada masa sama, isu berkaitan pengambilan tanah dan pemindahan utiliti akan dilaksanakan secara serentak bagi memastikan projek ini dapat berjalan dengan lancar,” ujarnya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke tapak Projek Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua di sini sebentar tadi.

img 20260907 wa0090img 20260907 wa0049img 20260907 wa0051

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Pembangunan), Dato’ Mohamed Abdul Rahman; Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Ir. Ts. Dr. Nadzrol Fadziah Ahmad; Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad, Datuk Ir. Zakaria Ahmad Zabidi; Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Menteri, Mohd. Balkish Othman; Jurutera Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT), Mustaqin Alpi serta wakil-wakil syarikat terlibat.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata bahawa projek tersebut dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 200,000 pengguna jalan raya setiap hari di jajaran Juru-Sungai Dua, sekali gus berpotensi mengurangkan kesesakan dan meningkatkan kelancaran trafik.

Tambah beliau, projek berkenaan turut mendapat perhatian serius Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim, dengan pemantauan berkala serta mesyuarat bulanan diadakan bagi memastikan setiap cabaran dan isu dapat ditangani segera.

“Ini merupakan satu projek yang mendapat perhatian Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sendiri, dan saya dimaklumkan bahawa pemantauan dilakukan secara berkala serta mesyuarat diadakan setiap bulan untuk meneliti cabaran, isu serta mencari penyelesaian.

“Matlamatnya adalah supaya projek dapat dilaksanakan dengan licin dan disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan iaitu pada akhir tahun 2030,” jelasnya.

Menurut Kon Yeow, projek berkenaan mengadaptasi konsep pengasingan trafik tempatan dan trafik lebuh raya seperti yang dilaksanakan di Jelapang, Ipoh.

“Kita dapat melihat hasil pelaksanaan konsep ini di Jelapang, Ipoh, yang mana pergerakan kenderaan dan lalu lintas di sana kini lebih lancar serta terkawal.

“Kita berharap projek ini juga akan membawa kesan positif yang sama kepada aliran trafik di Juru-Sungai Dua,” ulasnya lanjut.

img 20260907 wa0076img 20260907 wa0071img 20260907 wa0064img 20260907 wa0050

Dalam pada itu, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri terus memainkan peranan dalam membantu aspek pengambilan tanah bagi memastikan pelaksanaan projek tidak terjejas.

Katanya, perkara berkaitan pengambilan tanah kini telah memasuki Seksyen 8 dan dijangka dibentangkan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) Negeri Pulau Pinang pada 17 September ini.

“Dari segi penempatan semula, keterlibatannya adalah kecil kerana terdapat rizab sedia ada.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, hanya tujuh gerai makanan terjejas dan tiada penempatan semula berskala besar,” ujarnya.

Kon Yeow menyatakan bahawa Projek Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua amat dinantikan bukan sahaja oleh rakyat Pulau Pinang, malah pengguna lebuh raya yang menggunakan laluan Utara-Selatan.

“Saya rasa semua rakyat Pulau Pinang amat menantikan siapnya projek ini.

“Bukan sahaja rakyat Pulau Pinang, malah pengguna lebuh raya yang menuju ke utara dan selatan juga pastinya akan berasa lega apabila projek ini siap kerana dapat membantu mengurangkan kesesakan trafik serta melancarkan perjalanan di laluan ini,” jelasnya.

Projek Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua bernilai kira-kira RM3 bilion merupakan projek berimpak tinggi yang bakal menjadi pemangkin kepada penyelesaian kesesakan trafik di koridor Juru-Sungai Dua, antara laluan paling sibuk di Lebuhraya Utara-Selatan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : LAW SUUN TING