Kerajaan Negeri komited sediakan kemudahan OKU bagi mewujudkan komuniti inklusif – ADUN

AIR ITAM – Seramai 20 pelajar dari St. Nicholas Home Pulau Pinang menyertai lawatan ke The Habitat dekat Bukit Bendera, di sini anjuran The Habitat Penang Hill dan The Habitat Foundation, semalam.

Lawatan tersebut bertujuan untuk memberi pengalaman kepada para peserta menikmati keindahan alam semula jadi dengan cara istimewa yang mana mereka dapat menghayati keajaiban alam walaupun tanpa keupayaan untuk melihat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang menegaskan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam usaha menyediakan kemudahan yang lengkap kepada orang kurang upaya (OKU) di negeri ini.

Katanya, perkara itu perlu bagi mewujudkan sebuah komuniti dan masyarakat yang bersifat inklusif tanpa mengetepikan mereka yang kurang upaya fizikal dan sebagainya.

Joseph Ng Soon Siang mengambil swafoto bersama para peserta lawatan.

“Kami (Kerajaan Negeri) sentiasa menyediakan kemudahan untuk golongan OKU lebih-lebih lagi di kawasan pelancongan dalam usaha menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang lebih baik pada masa hadapan.

“Justeru, saya mengucapkan terima kasih kepada The Habitat kerana menjayakan program lawatan untuk golongan OKU,” katanya semasa lawatan mengiringi para pelajar sempena lawatan berkenaan.

Turut hadir, Pengarah Urusan The Habitat, Allen Tan; Pengurus Besar The Habitat, Justine Vaz serta Pengarah eksekutif St. Nicholas Home Penang, Daniel Soon.

Perkhidmatan keretapi Penang Hill serta tiket masuk ke The Habitat adalah percuma kepada pemegang sah kad OKU.

Untuk maklumat lanjut boleh dihubungi talian : 04 826 7677, melalui aplikasi WhatsApp: 90196457741 atau layari www.thehabitat.my.

Oleh: YUSNINA MOHAMAD YUSOF
Gambar: DARWINA MOHD DAUD